Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
32) RUMAH LADANG SUBANG DI KOTA DAMANSARA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah projek perumahan yang dijanjikan kepada penduduk ladang Subang Kota Damansara yang dijanjikan oleh pemaju akan siap sepenuhnya?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mahupun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak pernah mengeluarkan apa-apa tawaran kepada penduduk Ladang Subang bagi projek perumahan di Kota Damansara. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak Yang Berhormat mempunyai maklumat atau dokumen berkaitan berhubung projek tersebut, bolehlah dipanjangkan kepada pihak LPHS untuk semakan lanjut dengan pihak berkaitan.
-
Apakah tindakan kerajaan bagi memastikan kebajikan bekas peladang ini di bela?
Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Kota Damansara di atas keprihatinan dalam bertanyakan soalan melibatkan kebajikan bekas – bekas pekerja ladang di negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang secara rasminya telah dimansuhkan pada tahun 2020 memandangkan kebanyakkan ladang – ladang telah ditutup dan semakin berkurangan disebabkan oleh arus pembangunan yang pesat di negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor yang terkenal sebagai negeri berkebajikan masih lagi memberi perhatian, peka dan menitikberatkan keadaan sosio ekonomi keluarga yang kurang berkemampuan dan kebajikan mereka khususnya dalam kalangan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang.
Justeru, program – program sedia ada yang mensasarkan pekerja ladang, bekas pekerja ladang dan anak pekerja ladang masih diteruskan sehingga kini dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal & Minoriti dengan beberapa penambahbaikan dan sasaran program adalah terbuka kepada seluruh masyarakat India. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah membantu seramai 502 pelajar India di bawah Program Bantuan Yuran Pengajian Universiti / Kolej bagi Pelajar Komuniti India B40 dengan peruntukan dibelanjakan sebanyak RM1,981,749.95 dan seramai 3,594 orang pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil telah dibantu di bawah Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dengan peruntukan dibelanjakan sebanyak RM1,078,200.00.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah melaksanakan beberapa lawatan ke ladang – ladang dalam memastikan apa jua permasalahan dan isu – isu yang dibangkitkan oleh golongan pekerja ladang dapat diketengahkan dan diselesaikan secara baik. Antara masalah dan isu yang dapat diselesaikan melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang pada ketika itu adalah melibatkan beberapa ladang seperti di Ladang Bukit Raja, Ladang Inch Kennath, Ladang Tumbok, Ladang Semenyih, Ladang Dominion, Ladang Dunnedin, Taman Permata Dengkil dan Ladang Bangi.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan pekerja ladang dan anak – anak pekerja ladang selaras dengan dasar – dasar Kerajaan Negeri sedia ada serta penguatkuasaan undang – undang buruh di Malaysia iaitu Akta Pekerja 1955. Selaras dengan akta berkenaan, Kerajaan Negeri turut mempunyai Estet Land Board (ELB) yang bertujuan untuk menyemak dan meluluskan apa – apa transaksi ladang yang mempunyai keluasan melebihi 100 ekar bagi tujuan pembangunan. Pertimbangan dan kelulusan ini juga akan mengambil kira fasiliti yang terdapat di dalam ladang berkenaan seperti sekolah, rumah ibadat, tapak perkuburan dan sebagainya. Ia adalah bagi membantu mereka untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya demi memastikan mereka terus berdaya saing dan maju seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat membangun.