Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

14) RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila terangkan dengan perinci dari A sampai Z, proses pemilihan, proses penyiasatan dan kriteria pemberian rumah kos rendah kepada pemohon- pemohon.

    Semua pemohon yang berhasrat untuk membeli rumah kos rendah diwajibkan untuk berdaftar melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR) yang akan ditentukan kelayakan melalui merit pemarkahan sebelum ditawarkan rumah kos rendah di Negeri Selangor. Nama-nama pemohon akan disenarai pendek melalui SPPR yang mana akan disemak dan diperakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah Kos Rendah Negeri Selangor sebelum dikemukakan kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pegawai daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai dari Pejabat Tanah Daerah yang berkaitan yang mana LPHS bertindak sebagai urusetia. Di samping itu, bagi memastikan nama-nama yang diperakukan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dicadangkan menjadi ahli dalam mesyuarat Jawatankuasa tersebut dalam tempoh terdekat ini. Senarai nama pemohon yang telah diluluskan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri akan dipanjangkan kepada pemaju terlibat dan kepada pemohonpemohon yang berjaya untuk ditawarkan RKR. Jika tiada maklum balas dari pemohon maka mereka dianggap tidak berminat dengan tawaran tersebut. Pemaju akan mengemukakan maklum balas status tawaran kepada LPHS untuk dikemaskini dan gantian senarai nama baru akan dikeluarkan kepada pemaju berdasarkan baki unit rumah yang masih tidak terjual.

    Pada peringkat seterusnya nama-nama pemohon yang telah diluluskan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri akan dipaparkan dalam laman sesawang LPHS. Tujuan hebahan dan paparan senarai nama yang diluluskan ini adalah untuk menyampaikan maklumat kelulusan dan tawaran yang dibuat dari masa ke semasa kepada orang awam. Sekiranya terdapat bantahan terhadap mana-mana nama yang dipaparkan, ianya akan disiasat dan jika didapati ada kesahihan ke atas bantahan tersebut, maka tawaran RKR kepada pemohon terlibat akan dibatalkan. Ianya juga merupakan kaedah bagi mengelakkan penipuan yg sering berlaku di mana pihak tertentu mengambil kesempatan menyamar sebagai pegawai LPHS dengan mengenakan sejumlah bayaran bagi mendapatkan rumah kos rendah di sesebuah kawasan.

    Kriteria-kriteria pemohon yang layak ditawarkan RKR adalah seperti berikut:

    1. Warganegara Malaysia
    2. Berumur 18 tahun ke atas
    3. Bermastautin di Negeri Selangor
    4. Pemohon atau suami/isteri belum memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan atau swasta
    5. Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM2,500.00 sebulan
    6. Setiap pemohon perlu berdaftar dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Kos Rendah (SPPR) di LPHS
  2. Senaraikan jumlah permohonan serta jumlah yang telah diluluskan sepanjang tahun 2010 hingga 2011.

    Jumlah permohonan RKR dan jumlah permohonan yang telah diluluskan sepanjang tahun 2010 hingga 2011 adalah seperti berikut:

    Bil. Daerah Menunggu Tawaran Telah Ditawarkan Tidak Layak Jumlah
    1. Petaling 2,614 1,395 280 4,289
    2. Hulu Langat 627 373 34 1,034
    3. Klang 368 694 53 1,115
    4. Gombak 293 238 31 562
    5. Kuala Selangor 72 299 29 400
    6. Sabak Bernam 37 47 7 91
    7. Sepang 17 7 2 26
    8. Kuala Langat 15 16 2 33
    9. Hulu Selangor 11 1 1 13
    Jumlah keseluruhan 7,563

Lampiran

Tiada Lampiran.