Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

224) RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan nama ADUN, ahli politik atau pegawai kerajaan/PBT (samada bekas atau semasa) yang memiliki rumah kos rendah di Selangor.

    Senarai nama ADUN, ahli politik atau pegawai kerajaan/PBT (sama ada bekas atau
    semasa) yang memiliki rumah kos rendah di Selangor belum boleh dibekalkan untuk
    persidangan dewan kali ini kerana Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan
    Dan Hartanah Selangor masih sedang meneliti data-data berkenaan pemilikan
    rumah kos rendah di kalangan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ADUN
    dan ahli Parlimen di Negeri Selangor. Di samping itu, LPHS juga sedang menyemak
    senarai nama pemohon RKR yang pernah diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Dan
    Daerah (JKTD) di setiap Pejabat Tanah Daerah.

  2. Apakah tindakan yang telah diambil ataupun yang akan diambil terhadap mereka yang disenaraikan dalam para (a) di atas? Jika tiada, mengapa?

    Kerajaan Negeri perlu melihat pelbagai aspek terutama yang melibatkan
    perundangan dalam menentukan tindakan yang boleh diambil ke atas ADUN, ahli
    politik atau pegawai kerajaan yang tidak layak dari segi pendapatan tetapi memiliki
    RKR. Ini disebabkan tiada peruntukan undang-undang khusus untuk
    penguatkuasaan ke atas mana-mana pembeli yang didapati melanggar syarat
    pemilikan rumah kos rendah yang ditetapkan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri
    sedang dalam proses meneliti mana-mana peruntukan undang-undang yang
    bersangkutan bagi membolehkan pembeli tersebut dikenakan sebarang tindakan
    berhubung kesalahan memiliki rumah kos rendah tanpa kelulusan Pihak Berkuasa
    Negeri.
    Walau bagaimanapun, sebagai penyelesaian awal ketika ini Kerajaan Negeri telah
    mengarahkan mana-mana pegawai kerajaan yang telah pun memiliki rumah kos
    rendah (RKR) tetapi didapati tidak layak dari segi jumlah pendapatan, mereka akan
    diminta untuk menyerahkan semula unit rumah yang dimiliki kepada Kerajaan Negeri
    untuk dijual semula mengikut harga pasaran. Hasil jualan akan diserahkan kepada
    pemilik asal namun terhad kepada harga asal RKR tersebut semasa dibeli daripada
    pemaju.

  3. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa penjualan/pembelian rumah kos rendah diberikan kepada rakyat miskin yang berkelayakan?

    Beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan hanya
    golongan yang berkelayakan sahaja memiliki rumah kos rendah (RKR) di Negeri
    Selangor. Mulai Mac 2008, Kerajaan Negeri telah menetapkan hanya mereka yang
    mendaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sahaja
    layak membeli rumah kos rendah. Dasar baru ini telah menetapkan 100% nama
    pembeli RKR mestilah menggunakan senarai nama daripada Sistem Pendaftaran
    Permohonan Rumah (SPPR) yang berpusat di LPHS. Dasar ini bagi menggantikan
    dasar pembahagian kuota pembeli RKR sebanyak 50% dari Sistem Pendaftaran
    Terbuka Berpusat RKR dan 50% lagi dari perakuan Jawatankuasa Tanah Daerah
    (JKTD) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terdahulu. Penetapan ini
    membolehkan LPHS mengawal sepenuhnya nama pembeli di samping pengagihan
    RKR dapat dilaksanakan dengan adil dan telus.
    Bagi memastikan nama-nama pemohon yang ditawarkan RKR tidak dipertikaikan,
    nama-nama pemohon yang telah diluluskan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
    akan dipaparkan dalam laman web LPHS. Sekiranya ada bantahan terhadap manamana nama yang dipamerkan ianya akan disiasat dan jika didapati benar maka
    tawaran RKR kepada pemohon tersebut akan dibatalkan.
    Pemaju-pemaju yang membangunkan RKR di Negeri Selangor juga mestilah
    mematuhi dasar pemilikan rumah kos rendah ini dengan memastikan senarai nama
    pembeli hanya diperolehi daripada LPHS. Pemaju-pemaju yang ingkar atau enggan
    mendaftar dengan LPHS berhubung penjualan RKR akan dikenakan denda pada
    kadar sebanyak RM500.00 bagi setiap nama yang tidak berdaftar dalam Sistem
    Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR). Dasar ini ditetapkan bagi mengelak
    berlakunya penyelewengan pembelian dan penjualan RKR di lokasi-lokasi tumpuan
    terutamanya di Daerah Petaling, Gombak, Hulu Langat dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.