Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

5) RUMAH KERAJAAN PRIHATIN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah keluasan, kemudahan dan kos sebuah rumah tersebut?

    Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri Selangor merupakan antara portfolio ataupun program yang membantu rakyat miskin dan kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat untuk diduduki. Program Bantuan Kerajaan Prihatin ini telah diwujudkan bagi meringankan beban kos sara hidup dalam memiliki kediaman sendiri. Program Bantuan Kerajaan Prihatin ini tertumpu pada mereka yang kurang berkemampuan dengan pendapatan seisi rumah kurang daripada RM1500.00 sebulan, menduduki kediaman sendiri yang telah daif dan tidak selamat dan diutamakan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai. Secara tidak langsung, dengan program sebegini, ia dapat membantu mengurangkan bebanan sewa bulanan rumah yang dihadapi oleh pemohon sekaligus dapat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat di Negeri Selangor yang berbilang bangsa dan kaum.

     

    Di bawah Program ini, Kerajaan Negeri menyediakan dua jenis rumah bina baru iaitu 2 bilik dan 3 bilik. Kedua-dua rumah tersebut dilengkapi dengan kemudahan bilik tidur, ruang tamu, ruang dapur, dan bilik air. Kelulusan permohonan diberi berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah Kerajaan Prihatin mengikut keperluan dan bilangan tanggungan pemohon. Berikut adalah perincian bagi dua jenis Bantuan Rumah ini :

    JENIS RUMAH KELUASAN KOS RUMAH (RM)
    Bina Baru 2 Bilik 600 kaki persegi 32,000.00
    Bina Baru 3 Bilik 660 kaki persegi 35,000.00
  2. Adakah boleh dipertimbangkan pakej tambahan bilik mengikut tanggungan ahli keluarga pemohon?

    Di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, siasatan tapak akan dijalankan oleh UPEN dan Pejabat Daerah Dan Tanah yang berkenaan. Laporan tersebut akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah Bantuan Kerajaan Prihatin bagi membincang dan memutuskan kelulusan permohonan dan jenis bantuan yang akan diterima oleh pemohon berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penambahan bilik mengikut tanggungan ahli keluarga bagi sesebuah rumah adalah tidak terkandung di dalam bantuan rumah Program Kerajaan Prihatin. Hanya bantuan baikpulih rumah sedia ada tanpa mengubah atau menambah kepada struktur asal bangunan tersebut sahaja yang dibenarkan. Bagi kelulusan bantuan bina baru rumah pula, pembahagian bilik telah ditetapkan kepada 2 bilik dan 3 bilik mengikut kadar had siling. Sebarang penambahan bilik adalah tidak dibenarkan memandangkan perkara tersebut memerlukan kos melebihi had siling yang telah ditetapkan.

    Perkara penambahan bilik ini telah diterangkan kepada pemohon-pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai semasa lawatan tapak dijalankan bersama Pejabat Daerah Dan Tanah yang berkenaan bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan ketidakselesaan kepada pemohon apabila rumah bantuan tersebut siap dibina. Sebarang pembinaan baru perlu mendapatkan persetujuan oleh pemohon untuk merobohkan rumah lama untuk memberi ruang kepada bantuan rumah yang baru sepertimana disyaratkan di dalam Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin.

  3. Berapakah diperuntukkan setiap tahun mengikut daerah?

    Peruntukan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin tidak dibahagikan mengikut daerah. Namun begitu, peruntukan di bawah program ini adalah diselaraskan kepada keseluruhan 9 daerah mengikut jumlah permohonan yang diterima dan diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta.

    Sehubungan dengan itu, peruntukan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin juga diperolehi dari sumbangan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Anak syarikat yang memberi sumbangan kepada Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah seperti berikut :

    Bil Anak Syarikat
    1 Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB)
    2 Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)
    3 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
    4 Lembaga Zakat Selangor (LZS)
    5 Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB)

     

Lampiran

Tiada Lampiran.