Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

96) RUMAH IDAMAN SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah syarat-syarat dan objektif Rumah Idaman Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, syarat atau ciri- ciri yang terdapat pada Rumah Idaman Selangor adalah seperti berikut :

    1. Berkeluasan minima 1,000 kaki persegi;
    2. Setiap unit rumah disediakan dua (2) unit tempat letak kereta sebagai ‘accessory parcel’ untuk rumah tersebut;
    3. Setiap unit dilengkapi perabot pasang siap seperti kabinet televisyen, kabinet dapur dan almari pakaian. Selain itu, barangan elektrik seperti penghawa dingin, peti sejuk, televisyen dan pemanas air pancuran juga disediakan.
    4. Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi dan selesa seperti tadika, taman permainan kanak-kanak, musollah, dewan orang ramai, kedai/gerai komuniti dan lain- lain;
    5. Harga maksimum bagi setiap unit Rumah Idaman ialah RM250,000.00.
    6. Senarai nama pembeli Rumah Idaman diperolehi melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Hartanah Terkawal Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, objektif Rumah Idaman Selangor adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa, moden dan berkualiti. Selain itu, ianya juga memberi penumpuan untuk menggalakkan serta merancakkan lagi pembangunan rumah mampu milik setelah penularan wabak Covid-19 mula terkawal. Ianya selaras dengan Pelan Pemulihan Ekonomi, Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 3 di bawah Tonggak Kedua iaitu, Kemampanan Ekonomi yang di umumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai 2020. Insentif ini diberikan sehingga Tahun 2023.

  2. Apakah kriteria pembinaan Rumah Idaman Selangor di sesuatu tempat?

    Untuk makluman Yang Berhormat, kriteria yang diambil kira untuk pembinaan Rumah Idaman Selangor di sesuatu tempat adalah seperti berikut:

    1. Perletakkan lokasi tapak yang strategik terutamanya di kawasan perbandaran yang menjadi tumpuan penduduk;
    2. Permintaan/ permohonan daripada pemohon rumah mampu milik di sesuatu kawasan tersebut;
    3. Kebolehlaksanaan pembangunan Rumah Idaman di kawasan tersebut;
    4. Ketersediaan infrastruktur asas bagi menampung pembangunan Rumah Idaman di kawasan tersebut seperti jalan masuk, bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam.
  3. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membina Rumah Idaman Selangor di dalam kawasan Pelabuhan Klang pada masa akan datang?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), MBI, sedang giat mengenal pasti kawasan dan lokasi yang strategik untuk pembangunan Rumah Idaman di seluruh negeri Selangor.

    Oleh itu, amatlah dialu- alukan sekiranya Yang Berhormat dapat mencadangkan tapak atau tanah milik kerajaan mahupun persendirian yang berpotensi untuk dibangunkan Rumah Idaman di kawasan Pelabuhan Klang untuk pihak Kerajaan Negeri meneliti dan mengkaji akan kesesuaian pembinaan Rumah Idaman tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.