Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

13) RUMAH IDAMAN MBI DAN RUMAH SELANGORKU HARAPAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perbezaan Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor di dalam ucapan Bajet pada 13 Julai 2020 telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Ekonomi, Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 3 di bawah Tonggak Kedua iaitu, Kemampanan Ekonomi telah memberi penumpuan untuk merancakkan lagi pembangunan hartanah setelah penularan wabak Covid-19 mula terkawal. Insentif ini dikenali sebagai Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI) Pasca Covid-19.

     

    Insentif ini membenarkan pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C dan Jenis D kepada satu jenis sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat dua (2) perbezaan di antara Rumah Idaman MBI dengan Rumah Selangorku Harapan seperti beikut :

     

    • Pemilikan atau ‘ownership’

     

    Pemaju yang berminat dengan pindaan daripada Rumah Selangorku kepada Rumah Idaman MBI perlu berbincang dengan pihak Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) terlebih dahulu dan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dengan segala syarat atau perjanjian, pihak MBI akan mengemukakan permohonan pindaan tersebut ke Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

     

    Manakala bagi permohonan pindaan kepada Rumah Selangorku Harapan pula dibuat sepenuhnya oleh pemilik / pemaju itu sendiri ke LPHS.

     

    Kedua-dua permohonan ini perlu di bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk dibincangkan seterusnya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.

     

    • Tempoh Pembinaan

     

    Pemaju perlu memulakan pembinaan Rumah Idaman MBI dalam tempoh tiga (3) tahun manakala bagi Rumah Selangorku Harapan pula adalah dua (2) tahun sahaja daripada tarikh kelulusan MMKN.

     

    • Peratusan unit kontra

     

    Peruntukan sebanyak 13% bagi Rumah Idaman MBI dan 15% hingga 30% untuk Rumah Selangorku Harapan daripada pindaan Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Rumah Kos Rendah dan Rumah Kos Sederhana Rendah diserahkan secara percuma kepada Kerajaan Negeri / LPHS sebagai balasan/ kontra ke atas pengecualian penyediaan Rumah Selangorku tersebut yang telah disyaratkan di dalam kelulusan asal MMKN.

  2. Berapakah jumlah Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku harapan yang akan, sedang dan telah dibina mengikut DUN?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 15 Oktober 2023, sebanyak 27 projek dengan 45,436 unit Rumah Idaman MBI dan 1,319 unit kontra telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Daripada jumlah tersebut, 1 projek dengan 2,059 unit telah siap dibina, 6 projek dengan 6,571 unit sedang dalam pembinaan dan 20 projek dengan 36,806 unit masih diperingkat perancangan.

     

    Bagi projek Rumah Selangorku Harapan, 66 projek dengan 63,381 unit Rumah Selangorku Harapan dan 2,975 unit kontra telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Daripada jumlah tersebut, 9 projek dengan 4,613 unit sedang dalam pembinaan dan 57 projek dengan 58,768 unit masih diperingkat perancangan.

     

    Kerajaan Negeri merekodkan projek Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan mengikut daerah dan berikut merupakan pecahan projek: –

Lampiran

Tiada Lampiran.