Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

263) RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kriteria menetapkan tanah bagi RIBI bukan islam di setiap pembangunan perumahan baharu?

    1. Untuk makluman, terma rumah ibadat selain Islam (RISI) kini lebih sesuai digunakan bagi menggantikan terma rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

     

    Penetapan kriteria bagi penyediaan tapak-tapak rumah ibadat selain Islam (RISI) di setiap pembangunan baharu adalah berdasarkan Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi 4 yang telah diedarkan oleh PLANMalaysia kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

     

    Antara kriteria dalam Garis Panduan tersebut adalah penyediaan sebuah tapak RISI dengan keluasan 1.5 ekar bagi setiap kawasan pembangunan yang mempunyai komposisi penduduk seramai 5,000 orang atau sebanyak 1,250 kediaman.

     

    Selain itu, Garis Panduan Hal Ehwal Selain Islam (Pindaan 2018) pula telah menetapkan syarat-syarat bagi pembinaan bangunan keagamaan selain Islam adalah seperti berikut:

    1. Setiap permohonan pembinaan bangunan keagamaan hendaklah dipohon atas nama persatuan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
    2. Keluasan tanah untuk kegunaan bangunan keagamaan selain Islam sedia ada di tapak adalah mengikut keluasan asal bangunan tersebut;
    3. Tapak bangunan keagamaan selain Islam tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang TNB;
    4. Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam adalah tidak dibenarkan di bina di kawasan lapang;
    5. Penentuan jenis bangunan keagamaan selain Islam adalah ditetapkan mengikut komposisi kaum;
    6. Ketinggian yang dibenarkan adalah tertakluk kepada garis panduan dan undang-undang yang diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); dan
    7. Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam tidak akan menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam atau lalu lintas.

    Penetapan tapak-tapak RISI ini hendaklah berpandukan kepada semua syarat dan kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan keberadaan rumah-rumah ibadat ini selaras dengan hasrat  dan objektif Kerajaan Negeri bagi mewujudkan komuniti rakyat pelbagai agama yang hidup dalam harmoni dan sejahtera dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing.

  2. Berapakah RIBI yang masih belum dilaksanakan pemutihan?

    Yang Berhormat sekalian, Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Negeri Selangor berusaha untuk mengenalpasti rumah-rumah ibadat selain Islam (RISI) yang dibina tanpa kebenaran dalam Negeri Selangor.

    Sehingga Oktober 2023, berdasarkan data yang telah diperoleh, sebanyak 441 tanah RISI termasuk tanah perkuburan telah dibuat pemutihan melalui proses pewartaan selaras dengan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, berdasarkan kesesuaian tapak sedia ada serta syor daripada Pentadbir Tanah setiap daerah dalam Negeri Selangor.

    Data yang menunjukkan bilangan RISI yang belum dibuat pemutihan bergantung kepada permohonan dari persatuan melalui PDT.  Setakat data yang diterima, jumlah rumah ibadat yang masih belum diwartakan adalah sebanyak 397 buah rumah ibadat. Rumah ibadat selain daripada jumlah ini adalah rumah-rumah ibadat yang masih dalam peringkat semakan dan pemantauan oleh pihak PDT dan PBT. Rumah-rumah ibadat ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Khas LIMAS secara berperingkat bagi penentuan tindakan selanjutnya yang dirasakan sesuai selaras dengan peraturan dan garis panduan sedia ada.

  3. Berapakah jumlah tanah yang diwartakan untuk RIBI sehingga 2023?

    Bermula tahun 2008, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dalam memastikan keharmonian masyarakat majmuk, Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) bagi memelihara kebajikan rumah-rumah ibadat selain Islam. Sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri, sebanyak 441 plot tanah telah diluluskan bagi pembangunan rumah-rumah ibadat selain Islam di seluruh Negeri Selangor seperti berikut:

Lampiran

Tiada Lampiran.