Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
148) RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM DALAM PARLIMEN TANJONG KARANG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Selain Islam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan rumah ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar di dalam Parlimen Tanjong Karang.
Berdasarkan inventori yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor, sebanyak 19 Rumah Ibadat Bukan Islam yang dikenalpasti tidak berdaftar. Namun begitu, disebabkan terdapat kawasan-kawasan ladang, bagan serta Kampung Baru Cina, maka terdapat bilangan rumah-rumah ibadat selain Islam yang tidak berdaftar serta butiran lengkap rumah-rumah ibadat selain Islam tersebut tidak dapat dimasukkan di dalam inventori.
-
Nyatakan apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu rumah ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar khususnya di dalam Parlimen Tanjong Karang?
Antara usaha Kerajaan Negeri di dalam mengatasi isu rumah ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar adalah dengan menawarkan tapak untuk penempatan semula rumah ibadat yang sedang menduduki tanah kerajaan iaitu dengan meneliti permohonan untuk mewartakan tanah Kerajaan yang diduduki atau berhampiran yang sesuai sebagai tapak rumah-rumah ibadat. Selain itu, Kerajaan Negeri mensyaratkan pihak pemaju kawasan perumahan baru untuk menyediakan tapak rumah ibadat di kawasan-kawasan pembangunan perumahan baru bagi tujuan tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) telah mewujudkan satu Garis Panduan Tatacara Penguatkuasaan ke atas Rumah Ibadat Selain Islam dan Tempat Penyembahan yang dibina Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat selain Islam yang dibina tanpa kebenaran. Ia termasuk rumah-rumah ibadat selain Islam yang dibina di atas tanah rizab kerajaan seperti kawasan lapang, zon penampan sungai, rizab jalan dan sebagainya.
Garis panduan ini memberikan panduan kepada Pihak Berkuasa mengenai tindakan penguatkuasaan bagi membendung isu pembinaan struktur rumah ibadat selain Islam tanpa kebenaran berdasarkan Akta dan Undang-Undang yang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) dan Akta Perancang Bandar dan Desa (Akta 172) sebagai punca kuasa bagi sebarang tindakan penguatkuasaan yang hendak dilaksanakan.
Garis panduan ini digunapakai oleh penguatkuasa di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan ke atas struktur binaan rumah ibadat selain Islam tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
Sebagai tambahan, Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam pada ketika ini juga dalam tindakan memperkasa dan menambahbaik prosedur tindakan penguatkuasaan terhadap struktur tempat sembahan berskala kecil / shrine bagi mengawal isu pembinaan struktur tanpa kebenaran yang mengganggu keselamatan dan keharmonian masyarakat umum.