Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
238) RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Selain Islam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam mengikut syarat-syarat pembinaan rumah ibadat?
Kerajaan Negeri merujuk MANUAL GARIS PANDUAN DAN PIAWAIAN PERANCANGAN NEGERI SELANGOR yang dikeluarkan oleh pihak JPBD Negeri Selangor di dalam memastikan pembinaan Rumah Ibadat Selain Islam mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Rumah Ibadat Selain Islam yang baru atau akan dibina juga perlulah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam iaitu melalui :
- Permohonan Pewartaan tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang perlu dimohon kepada pihak Pejabat tanah dan Daerah di kawasan masing-masing; dan
- Permohonan Kebenaran Merancang di bawah Seksyen 21 Akta 172 (Akta Perancang Bandar dan Desa) oleh pihak Pengurusan / Persatuan agama kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk sebarang pembinaan struktur rumah ibadat.
Merujuk kepada Mesyuarat Hal Ehwal Selain Islam Bil. 7/2015 telah memutuskan supaya Pihak Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil tindakan serta merta pengeluaran notis mengikut undang-undang dan akta yang berkuatkuasa kepada mana-mana pembinaan tanpa kebenaran yang sedang dibina.
-
Apakah syarat-syarat yang sedia ada bagi pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam?
Syarat-syarat pembinaan rumah Ibadat Selain Islam perlu merujuk MANUAL GARIS PANDUAN DAN PIAWAIAN PERANCANGAN NEGERI SELANGOR yang dikeluarkan oleh pihak JPBD Negeri Selangor, kemudahan keagamaan tempat ibadat selain Islam perlulah disediakan seperti berikut :
- Keluasan tapak tidak melebihi 03 hektar (1.2 ekar) dan kawasan lot yang diliputi oleh bangunan adalah di antara 40% – 60%.
- Tadahan penduduk perlulah 5,000 penduduk 1 tapak atau 2,600 penganut / 1 tapak.
- Anjakan Bangunan – Menghadap Jalan -12.1m (40’) Sempadan Bersama-6.1m (20′)
- Laluan Keluar Masuk Minimum 12.1m (40′).
- Perimeter Planting Minimum 3.1m (10′) di sekeliling tapak (tidak termasuk jarak anjakan bangunan) untuk tujuan landskap.
- Komponen Kemudahan
- Perancangan Tempat Ibadat Selain Islam
- Penyediaan Tempat Ibadat Selain Islam diharuskan bagi mereka yang mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.
- Merizabkan tapak yang sesuai untuk dijadikan tempat ibadat bukan Islam secara sah.
- Menyediakan ruang atau dewan pertemuan masyarakatnya.
- Jika tapak Tempat Ibadat Bukan Islam yang hendak dibina terletak di dalam kawasan di mana majoriti masyarakatnya bukan penganut agama tersebut, maka notis hendaklah disampaikan kepada penduduk yang menetap dalam radius 200 m di sekitar tapak (atau sekurang-kurangnya 40 buah rumah), untuk mendapatkan pandangan dan kemusykilan sebelum ianya dapat diluluskan.
Konsep pemusatan perlu mengambil kira kriteria seperti :
- – Kemampuan, keluasan jalan untuk menampung
- – Keserasian lokasi alam sekitar
- – Persetujuan penduduk setempat don keperluannya.
Lokasi Peletakan
- Rumah Ibadat Selain Islam hendaklah didirikan di tengah-tengah kelompok masyarakat berkenaan.
- Pembangunan tempat keagamaan di premis kedai dan kediaman adalah tidak dibenarkan, kecuali terbukti tidak terdapat tanah atau kawasan yang sesuai untuk tujuan tersebut. la hanya dijalankan secara ‘case-by-case’ tertakluk kepada tidak timbulnya kacau ganggu kepada penghuni di kawasan sekitar dan keputusan PBT.
- Perancangan tapak untuk pembinaan tempat ibadat bukan Islam hendaklah mengikut piawaian yang ditetapkan.
- Tiap-tiap keramat atau tempat penyembahan sementara yang dibina di tapak projek pembinaan hendaklah dimansuhkan sebaik sahaja projek siap.
- Tidak dibenarkan dibina di kawasan lapang dan tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang TNB.
- Menyediakan jalan susur dan kemudahan TLK yang secukupnya supaya tidak mengganggu lalu lintas.
Ketinggian Reka Bentuk
- Ketinggian arca dan bangunan tokong, kuil, gereja, gudwara dan lain-lain tempat keagamaan perlu disesuaikan dengan ketinggian bangunan sekitar dan tertakluk kepada garis panduan atau piawaian kawalan ketinggian yang dikuatkuasakan oleh PBT.
- Di kawasan majoriti penganut Islam, ketinggian bangunan dan arca tempat keagamaan selain Islam perlu disesuaikan, dengan ketinggian bangunan, kubah dan menara masjid sekitar.
- Seboleh mungkin, ketinggian bangunan tempat keagamaan perlu mengambil kira keseragaman latar belakang (skyline), warna dan pemandangan (scenery) supaya is berharmoni dengan pembangunan sekitar.
-
Bagaimana mengatasi masalah Rumah Ibadat yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan?
Bagi Rumah Ibadat yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan, perkara ini akan di bincangkan di dalam Mesyuarat Hal Ehwal Selain Islam dan akan dikenakan tindakan Penguatkuasaan mengikut Garis Panduan yang telah diluluskan oleh MMKN ke 4 /2015 bertarikh 29 Januari 2015 iaitu Garis Panduan Tatacara Penguatkuasaan ke atas Rumah Ibadat Selain Islam dan Tempat Penyembahan di bina Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor.