Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

63) RUMAH GENERASI KEDUA FELDA SUNGAI TENGI SELATAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berdasarkan maklumat, kediaman berjumlah 136unit siap dibina setahun yang lalu.Nyatakan sebab terperinci penyerahan kunci masih belum dibuat kepada pemilik.

    Untuk makluman, status kemajuan projek Rumah Generasi Kedua Felda Sungai Tengi Selatan sehingga 28 Februari 2023 adalah seperti berikut :

    1. Jadual : 98%
    2. Sebenar : 85%
    3. Kelewatan : 13%

    Sehingga kini, kerja bangunan telah siap dan baki kerja pembaikan serta mengecat rumah akan dimulakan pada April 2023.

    Status kerja infrastruktur di dalam kawasan projek adalah seperti berikut :

    1. TNB Substation : 100% (baki: sambungan bekalan elektrik oleh pihak TNB)
    2. Kerja longkang : 45% (terhalang di kawasan kerja kabel TNB)
    3. Kerja bekalan air : 95%
    4. Kerja pembetungan : 98%
    5. Kerja jalan : 40% (terhalang di kawasan kerja kabel TNB)
    6. Kerja lampu jalan : 0% (kerja akan dilaksanakan oleh pihak TNB)
    7. Kerja lanskap : 0% (masih belum dilaksanakan)

    Jangkaan tarikh CCC diperolehi pada Julai 2023 dan seterusnya penyerahan kunci dijangka akan dibuat pada Ogos 2023.

  2. Infrastruktur asas dan jalan masuk ke rumah juga masih belum disiapkan. Apakah halangan dari pihak PKNS atas kegagalan menyiapkan perkara berkenaan?

    Berikut adalah sebab-sebab kelewatan projek :

    1. Isu Bekalan Air

    Untuk makluman, kawasan Felda Sg. Tengi Selatan mempunyai masalah bekalan air semasa musim perayaan sebelum projek ini dimulakan lagi. Oleh itu, pihak Pengurusan Air Selangor (AIS) telah menetapkan syarat berikut untuk sokongan Sijil Penyiapan & Pematuhan (CCC) bagi projek ini :

    (i) Pihak FELDA perlu menaiktaraf sistem bekalan air di Rancangan Felda Sg. Tengi Selatan iaitu termasuk Loji Rawatan Air, Kolam Tadahan Air dan Tangki Air (semua urusan yang berkaitan adalah dibawah tanggungjawab pihak FELDA);

    (ii) PKNS perlu membuat penyambungan paip air dari Tangki Air (jarak 3km).

    PKNS telah membuat permohonan untuk kelulusan pelan pindaan bekalan air pada 19 Oktober 2019 dan kelulusan telah diperolehi pada 8 Oktober 2021. Tempoh masa yang panjang ini disebabkan oleh penetapan lokasi tapping paip air oleh pihak AIS serta tempoh pandemik Covid 19 dan PKP yang lama.

    Kerja-kerja penyambungan paip air di tapak telah siap sepenuhnya pada Oktober 2022.

    Kemajuan kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air sehingga Februari 2023 telah mencapai 48.5% (dibawah tanggungjawab FELDA). Kerja di tapak masih tertangguh sehingga surat kebenaran masuk loji diperolehi dari pihak AIS.

    1. Kerja Pengalihan Kabel TNB Di Jalan Utama JKR

    Kabel TNB sedia ada di bahu jalan utama (Jalan Utama JKR) perlu dialihkan terlebih dahulu supaya kerja pemotongan cerun, pembinaan longkang, jalan masuk dan lampu jalan dapat dilaksanakan.

    Pihak TNB (cawangan Kampar) telah membuat permohonan permit pengorekan kerja dengan pihak JKR Hulu Selangor pada 20 Mei 2022 bagi pengalihan kabel TNB. Walau bagaimanapun, maklumbalas dari pihak JKR, yang mana permit tersebut perlu dipohon melalui Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (KUSEL).

    PKNS diminta untuk berurusan dengan pihak KUSEL bagi urusan permohonan melibatkan kerja utiliti di jalan JKR dan permohonan telah dibuat pada 5 Disember 2022. Pelbagai proses yang perlu dibuat dan sehingga kini permit pengorekan jalan masih belum diperolehi.

    Untuk makluman juga, pihak TNB telah melantik kontraktor pada 17 Januari 2023 dan jangkaan kerja kabel di dalam kawasan projek akan dimulakan pada 10 Mac 2023. Namun, kerja-kerja pengalihan kabel di jalan JKR masih tidak dapat dimulakan sehingga permit JKR (melalui KUSEL) diperolehi.

    Selain itu, dimaklumkan pihak TNB juga menghadapi masalah kekurangan stok bahan tiang elektrik (concrete pole) serta isu teknikal berkaitan switch gear dan transformer.

Lampiran

Tiada Lampiran.