Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
158) RUMAH BURUNG WALIT
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah pengusaha burung walit masih dibenarkan untuk mengunakan premis perniagaan sebagai rumah burung walit? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke 26/2013 pada 4 September 2013, telah memberikan tempoh kelonggaran atau tempoh matang untuk pengusaha menamatkan perusahaan burung walit dan berpindah ke kawasan tanah pertanian seperti yang terkandung di dalam Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor PBT:SPBT Bil. 4/2013 Kaedah Pelesenan Rumah Burung Walit Di Kawasan Perniagaan Dan Kawasan Sawah Padi Di Negeri Selangor bertarikh 23 Oktober 2013 iaitu:
- Kawasan Komersil – tiga (3) tahun bermula 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2016; dan
- Kawasan Sawah Padi – tujuh (7) tahun bermula 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2020
Seterusnya, Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke 15/2018 pada 14 Februari 2018 turut menolak cadangan pembaharuan lesen burung walit kepada pengusaha- pengusaha burung walit sedia ada.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap rumah burung walit yang terbiar atau tidak membaharui lesen di kawasan pertanian?
Sekiranya terdapat pengusaha yang tidak memperbaharui lesen selepas tamat tempoh memperbaharui lesen, PBT akan mengeluarkan Notis Peringatan untuk memperbaharui lesen kepada pengusaha. Sehubungan itu, pengusaha yang gagal mempamer atau mengemukakan lesennya selepas tempoh yang ditawarkan dalam notis tersebut, PBT boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 56 (1) Undang-Undang Kecil (UUK) Penternakan Burung Walit dan Perusahaan Sarang Burung Walit Tahun 2013 iaitu pengusaha boleh dikenakan kompaun dengan tidak melebihi RM250.00 bagi kesalahan dalam tempoh yang dinyatakan dalam tawaran. Sekiranya pengusaha tetap ingkar, PBT boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 9 (2) UUK yang sama iaitu pengusaha boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500.00 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya.
Walau bagaimanapun, bagi menggalakkan mana-mana pengusaha burung walit yang telah berdaftar sebelum 31 Disember 2013 untuk menjalankan aktiviti perusahaan burung walit di kawasan pertanian (kecuali sawah padi) sebelum/pada masa tamat tempoh penamatan perusahaan burung walit, Kerajaan Negeri telah menawarkan insentif berupa pengecualian cukai taksiran, cukai tanah dan lesen perniagaan untuk tempoh selama 5 tahun bermula daripada tarikh keluar premis asal.