Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
150) RUMAH AWAM/ RAKYAT
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bercadang untuk membina semula rumah Kos Rendah Setingkat (landed property) dengan harga yang berpatutan dan mampu milik seperti yang pernah dibuat oleh PKNS di Antara Gapi?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dalam menyediakan Rumah Selangorku terutamanya Jenis A (Kos Rendah) yang berharga RM42,000.00, ini dapat dilihat kepada Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 02 April 2018. Bagi mana-mana tanah / tapak cadangan yang terletak di Zon 1 pembangunan dengan keluasan melebihi 5 ekar dan ke atas dikenakan syarat penyediaan 10% Rumah Selangorku Jenis A, bagi Zon 2 pembangunan yang berkeluasan 20 ekar ke atas turut dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A manakala bagi Zon 3 yang berkeluasan 50 ekar dan ke atas juga dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, agensi kerajaan atau anak syarikat Kerajaan Negeri / Persekutuan.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Rumah Selangorku Jenis A ini masih tidak mencukupi di pasaran bagi menampung permintaan terutamanya kepada golongan B40. Ini disebabkan oleh kos pembinaan dan kos subsidi yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pihak pemaju yang mana harga seunit mencecah RM70,000.00 – RM80,000.00 berbanding harga jualan RM42,000.00 seunit lebih- lebih lagi pada fasa pendemik Covid 19 sekarang ini. Selain itu, aliran tunai (cash flow) syarikat pemaju akan terjejas dan kesukaran mendapatkan pembiayaan projek (bridging loan) daripada pihak bank. Di samping itu, Rumah Selangorku Jenis A ini mempunyai kesukaran pinjaman daripada institusi perbankan bagi pembeli berpendapatan RM3,000.00 ke bawah.
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu skim insentif iaitu Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI) Pasca Covid 19 dalam memberikan penumpuan untuk merancakkan lagi pembangunan hartanah setelah penularan wabak Covid 19 mula terkawal. Insentif ini membenarkan pemaju meminda penyediaan komponen Rumah Selangorku Jenis A kepada Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan. Pemaju perlu memperuntukkan sebanyak 15 hingga 30 peratus daripada pindaan/ pengecualian pembinaan Rumah Selangorku Jenis A kepada Kerajaan Negeri secara percuma sebagai balasan/ kontra ke atas pengecualian penyediaan Rumah Selangorku yang sepatutnya di bina.
Unit- unit kontra ini akan digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program-program seperti Skim Smart Sewa dan Skim Sewa Milik Selangor yang dapat membantu rakyat khususnya untuk golongan B40 memiliki rumah. Pelaksanaan program-program ini kelak secara tidak langsung akan membantu Kerajaan Negeri dalam memberi peluang kepada golongan yang sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk memiliki rumah sendiri.