Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
48) RTB SUNGAI PELEMPAS KG MELAYU SUBANG DAN SEKITAR
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah Kerajaan telah menunaikan tanggungjawab membela rakyat/ penduduk yg terlibat dalam projek ini dari sudut keadilan dan sikap perikemanusiaan?
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelempas adalah projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan peruntukan belanja sebanyak RM15.13 juta. Projek RTB ini telah dimulakan pada tahun 2016, namun begitu pembinaannya mengalami kelewatan kerana terdapatnya struktur-struktur binaan tanpa kebenaran yang berada di dalam jajaran projek. Sehingga kini projek ini telah diberikan sebanyak empat (4) kali Extension Of Time (EOT) yang akan berakhir pada 11 Februari 2021. Akibat dari kelewatan pelaksanaan, projek ini telah diaudit dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 dan telah dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 2018.
Pihak Kerajaan telah memberi tempoh masa yang mencukupi untuk penduduk mengosongkan tapak. Malahan tindakan penguatkuasaan juga telah beberapa kali ditangguhkan bagi memberi laluan kepada para penduduk menyambut Hari Raya Aildiladha. Selain itu, tawaran pembelian Rumah SelangorKu, pihak Lembaga Zakat Negeri Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menawarkan bantuan kepada penduduk yang layak.
-
Siapa dan apakah bentuk pampasan/ ganti rugi (wang atau harta) yang telah diberikan kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam projek ini secara terperinci?
Bagi tanah hakmilik yang terlibat dengan projek RTB Sungai Pelempas, semua pemilik tanah yang terlibat telah selesai dibuat pembayaran pampasan pengambilan tanah. Pembayaran pampasan telah dibayar tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh tuan tanah menandatangani Borang H (Notis Award dan Tawaran Pampasan), selaras dengan tatacara perundangan yang terdapat di dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.
Bagi tanah Kerajaan, berikut merupakan senarai nama penerima bayaran wang saguhati dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM392,000.00 bagi pemilik strukur tanpa kebenaran:-
-
Bagaimanakah Kerajaan menyelaras pampasan (gantirugi) tersebut bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan "on-time" bagi memenuhi keperluan penduduk-penduduk yang terlibat?
Penyelarasan pampasan bagi tanah hakmilik dilakukan sebagaimana peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960. Manakala penyelarasan pampasan bagi tanah Kerajaan dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan di peringkat daerah yang juga turut melibatkan YB ADN Kota Damansara; YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani; serta jabatan serta agensi yang terlibat. Malahan isu berkaitan pemberian pampasan kepada penduduk yang menduduki tanah Kerajaan ini juga telah beberapa kali diangkat ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor.