Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
100) RIZAH TANAH UNTUK SEKOLAH SK, SMK, SJKC, SJKT DAN SEKOLAH SWASTA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah prosedur atau garis panduan atau undang-undang di bawah Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat UPEN, PTGS malahan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri serta Kementerian Pendidikan Malaysia yang perlu dipatuhi untuk menyediakan tanah bagi membangunkan sekolah SK, SMK, SJKC, SJKT dan Sekolah swasta di Selangor?
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di negeri Selangor. Ini termasuklah dalam perkara asas penyediaan kemudahan infrastruktur pendidikan iaitu tapak atau tanah untuk membina sekolah.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Selangor mengikut Garis Panduan penyediaan tapak sekolah atau tanah rizab pendidikan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Kebenaran Merancang (KM) kepada pemaju perumahan untuk membangunkan sesuatu kawasan. Garis Panduan tersebut telah menetapkan perizaban untuk tapak pendidikan dan lain-lain kemudahan awam. Seterusnya tanah tersebut akan dimohon status pemilikan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian kepada Tanah Pesuruhjaya Persekutuan bagi pembinaan sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Manakala bagi kawasan yang tiada tanah serahan pemaju seperti di kawasan kampung atau perumahan mikro serta ada keperluan pembinaan sekolah, KPM akan mengenal pasti tapak atau tanah yang sesuai untuk dibuat pengambilan tanah atas kepentingan awam mengikut akta pengambilan tanah dengan cara pembelian. Sementara bagi sekolah-sekolah SJK (T) atau SJK (C) yang berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) tanah/tapak sekolah diurus oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau institusi tersebut.
Berdasarkan Seksyen 16 Bahagian IV Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), kategori institusi pendidikan terbahagi kepada 3 jenis iaitu institut. pendidikan kerajaan, institut pendidikan bantuan kerajaan dan institut. pendidikan swasta. Pemilikan tanah bagi institut pendidikan kerajaan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dengan melantik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) sebagai pemilik tanah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Kementerian Jabatan Pengguna (KJP). Bagi pemilikan tanah institut pendidikan bantuan kerajaan dan pendidikan swasta adalah tindakan dan tanggungjawab premis/institut berkenaan.