Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

189) RIZAB TANAH MELAYU

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk menggantikan semula tanah rizab Melayu yang telah ditukar status?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Pengarah Tanah dan Galian Selangor juga telah mengeluarkan dua (2) pekeliling berhubung dasar dan garis panduan pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu iaitu Pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 dan Pekeliling PTGS Bilangan 3/2015. Kedua-dua pekeliling ini telah menekankan mengenai proses pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu yang perlu dijalankan secara serentak. Ini termasuk urusan pembatalan Tanah Rizab Melayu yang dilaksanakan bagi penyediaan tapak untuk kemudahan awam.

  2. Nyatakan jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang sudah dipindah milik terutamanya di kawasan pesisir laut dan tepi sungai.

    Untuk makluman Yang Berhormat, merujuk kepada Seksyen 8(ii), Enakmen Rizab Melayu (ERM) “Bahawa tiada apa jua pegangan Melayu boleh dipindahmilik, digadai, dipajak atau dilupuskan dengan cara lain kepada mana-mana orang yang bukannya seorang Melayu dan tiada apa jua memorandum pindahmilik, gadaian atau pajakan yang bertentangan dengan seksyen ini layak untuk pendaftaran di mana-mana Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftaran Hakmilik”.

    Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa semua pindah milik yang berlaku melibatkan tanah Rizab Melayu adalah antara pemilik Melayu kepada penerima Melayu sekaligus tidak melibatkan perubahan keluasan keseluruhan tanah Rizab Melayu.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, keseluruhan Tanah Rizab Melayu di Daerah Hulu Selangor adalah seluas lebih kurang 42,543.86 ekar (17,216.92 hektar) meliputi tanah hakmilik dan tanah kerajaan. Perincian keluasan adalah seperti berikut :

    BIL. BUTIRAN KELUASAN
    1. Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu Daerah Hulu Selangor Lebih kurang 42,543.86 ekar
    2. Keluasan Tanah Rizab Melayu Daerah Hulu Selangor berstatus tanah hakmilik Lebih kurang 41,519.332 ekar
    3. Keluasan Tanah Rizab Melayu Daerah Hulu Selangor berstatus tanah kerajaan Lebih kurang 1,024.528 ekar

Lampiran

Tiada Lampiran.