Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
160) RIZAB KEWANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah rizab Kerajaan Selangor setakat September 2017?
Rizab negeri terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga- tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada 30 September 2017 berjumlah RM3,374.98 juta.
- DASAR KERAJAAN NEGERI
Adalah menjadi matlamat Kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskan rizab Kerajaan Negeri dengan cekap dan teratur agar segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam hal pengurusan rizab, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa ia mestilah dibelanjakan kepada program atau projek yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada pembangunan sosioekonomi negeri. Jumlah peruntukan yang akan disediakan pada setiap tahun adalah berdasarkan keutamaan dan keperluan yang akan ditentukan serta keupayaan kewangan semasa Kerajaan Negeri.
PELABURAN RIZAB NEGERI / KUMPULAN WANG DISATUKAN NEGERI
Rizab tunai negeri dilabur dan disimpan dalam instrumen kewangan yang Patuh Syariah (Syariah Compliance) manakala pulangan untuk pasaran wang jangka pendek yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan syarikat kewangan adalah mengikut tempoh dan jenis pelaburan. Jumlah keuntungan/faedah yang dijana daripada akaun semasa, simpanan tetap dan deposit pasaran wang jangka pendek (STMMD) dari Januari hingga 30 September 2017 adalah sebanyak RM61.27 juta.
Peningkatan rizab Kerajaan Negeri Selangor ini menunjukkan keupayaan pihak pengurusan menguruskan kewangan Kerajaan Negeri dengan cekap dan teratur di samping mematuhi segala peraturan kewangan yang berkuat kuasa. Ianya juga menunjukkan usaha yang berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik (value for money).
PERBELANJAAN RIZAB NEGERI / KUMPULAN WANG DISATUKAN NEGERI
Perbendaharaan Negeri Selangor telah memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna telah mengeluarkan:-
- Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 7 Tahun 2013 : Garis Panduan Perbelanjaan Berhemat yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 bertujuan untuk memaklumkan garis panduan perbelanjaan berhemat bagi mengawal perbelanjaan Kerajaan Negeri;
- Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 5 Tahun 2017 : Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam yang berkuat kuasa pada 16 Ogos 2017 bertujuan memaklumkan berkenaan langkah penjimatan dalam perbelanjaan sektor awam;
- Surat Arahan Perbendaharaan – Langkah Penjimatan Dalam Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 April 2014 bagi memaklumkan mengenai perubahan had nilai dan syarat-syarat pembelian terus bagi bekalan/perkhidmatan dan had nilai kerja requisition selaras dengan langkah penjimatan Kerajaan; dan
- Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bil 7 Tahun 2014 – Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-Off yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2015 bagi memaklumkan mengenai pindaan dasar perolehan Kerajaan Negeri Selangor daripada sistem harga terendah setelah melepasi penilaian teknikal kepada Sistem Cut-Off iaitu satu tanda aras harga sebut harga dan tender yang diperoleh melalui formula statistik bagi mendapatkan harga yang munasabah; dan
- Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2015 yang memberi penjelasan terhadap isu berbangkit berkenaan pelaksanaan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-Off.
-
Apakah perancangan Kerajaan Selangor dalam pengurusan Rizab Kewangan Kerajaan Selangor?