Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
134) RIZAB HUTAN SIMPAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah keluasan keseluruhan hutan simpan di Negeri Selangor mengikut daerah dan DUN?
Sehingga kini, keluasan keseluruhan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 di Negeri Selangor adalah berjumlah ±250,207.52ha. Ini adalah bersamaan dengan 31.7% daripada keluasan tanah negeri. Senarai HSK yang telah diwartakan ini adalah seperti di lampiran berikut:
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan mana-mana kawasan hutan simpan? jika ada, nyatakan di mana?
Kerajaan Negeri Selangor adalah sentiasa komited untuk mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Selangor sebanyak tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan MMKN Ke-45/2014 bertarikh 19 November 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di Negeri Selangor dengan mengenal pasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk membangunkan mana-mana kawasan HSK melainkan terdapat permohonan daripada pihak-pihak tertentu.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menerima beberapa permohonan daripada pihak-pihak yang berkepentingan termasuklah dari Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek pembangunan melibatkan kawasan HSK. Antara projek pembangunan yang ingin dilaksanakan adalah:
- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan kawasan HSK Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, seluas ±9.6ha (sepanjang ±3.2 km) dan HSK Jugra Kelompok II, Mukim Jugra seluas ±0.15ha (sepanjang ±2-50 meter);
- Projek Membina Jalan Dari Jambatan Sungai Sepang Bagi Menghubungkan Kampung India, Bukit Pelandok, Port Dickson Dengan Bandar Sungai Pelek, Sepang, Selangor (RP3, Tahun 2018, RMK11) melibatkan kawasan HSK Kuala Sepang, Mukim Sepang seluas ±1.37ha;
- Penyelesaian ke atas permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 melibatkan sebahagian tanah HSK Bukit Lagong (Kompartmen 19) seluas ±28.3ha bagi tujuan pembangunan dengan penggantian; dan
- Permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 melibatkan HSK Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas seluas ±931.17ha.
-
Apakah proses dan prosedur jika sesebuah kawasan hutan simpan itu ingin dibangunkan?
Pada dasarnya, sesuatu projek pembangunan yang melibatkan mana-mana kawasan HSK akan diteliti sebaik mungkin sebelum projek tersebut diluluskan. Aspek-aspek penelitian ini termasuklah kewajaran untuk kawasan yang terlibat untuk dinyahwarta sebagai HSK dengan melibatkan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam Negeri Selangor 2014, mengenalpasti kepentingan nilai-nilai pemeliharaan biodiversity melibatkan flora dan fauna, penilaian faktor pembangunan ekonomi dan sosial, penyediaan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan sebagainya.