Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
180) RISIKO BANJIR AKIBAT PEMBANGUNAN WCE
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pembangunan Lebuhraya WCE telah memutuskan beberapa sistem saliran yang merisikokan penduduk sekitar Bukit Kapar ketika musim hujan.
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu sistem saliran di sana?Sebarang cadangan pembangunan baru seperti pembangunan lebuhraya WCE perlu menyediakan cadangan rekabentuk sistem saliran yang lengkap bagi keseluruhan kawasan tadahan termasuk keperluan menaiktaraf struktur culvert/lintasan sediada, tambahan struktur culvert/lintasan serta membina sistem saliran yang baru dengan kecukupan muatan hidraulik mengikut kadar aliran tempoh ulangan (ARI) 100 tahun.
Sebagai salah satu tindakan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan sistem saliran yang disediakan mencukupi adalah dengan mengenakan syarat dan memastikan pihak pemaju menyediakan struktur sistem saliran yang mencukupi mengikut kadaralir air larian bagi keseluruhan kawasan tadahan serta menyediakan struktur kolam takungan mengikut keperluan.
-
Apakah perancangan jangka pendek untuk menyelesaikan masalah tersebut?
Berdasarkan kepada siasatan tapak yang telah dijalankan, risiko kejadian banjir yang melibatkan pembangunan lebuhraya berlaku semasa fasa pembinaan. Sebagai langkah kawalan, Jabatan telah mensyaratkan pematuhan ke atas penyediaan pelan kawalan hakisan kelodak (ESCP) semasa kerja-kerja tanah dijalankan.
Jabatan juga akan sentiasa melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui operasi Ops Lumpur semasa kerja-kerja pembinaan di tapak khusus bagi memastikan pematuhan dan kefungsian binaan komponen ESCP dan struktur sementara yang dipasang tidak mengganggu aliran air larian di kawasan sekitar dan tidak menjadi punca kepada aliran balik (backflow) yang boleh meningkatkan risiko kejadian banjir di kawasan sekitar.