Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
197) RIQAB
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah golongan Riqab yang telah dikenal pasti di Negeri Selangor?
Riqab ialah seseorang beragama Islam yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya dan tidak berkemampuan untuk membebaskan dirinya daripada kebelengguan tersebut. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Peraturan-peraturan Pendaftaran, Pemulihan Dan Pengawalan Riqab (Negeri Selangor) 2013.
Jenis-jenis penerima asnaf riqab terdiri daripada dua kategori yang utama, iaitu mereka yang terlibat dengan masalah sosial dan mereka yang terlibat dengan masalah aqidah
Bagi mereka yang terlibat dengan masalah sosial terdiri daripada golongan seperti berikut:
- Terbelenggu dengan dadah;
- Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah;
- Terbelenggu dengan amalan salah Islam;
- Terbelenggu dengan gaya hidup sonsang;
- Terbelenggu dengan kes juvana;
- Terbelenggu dengan penyakit kronik.
Manakala bagi mereka yang terbelenggu dengan masalah aqidah terdiri daripada golongan seperti berikut:
- Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat;
- Memurnikan akidah orang Islam yang terpesong.
-
Apakah tempoh yang diperlukan oleh institusi di bawah MAIS dan NGO untuk mengeluarkan golongan Riqab daripada kategori asnaf?
Tempoh pemulihan yang dilaksanakan bagi proses pemulihan asnaf riqab di bawah Rumah Pemulihan Majlis seperti Baitul Ehsan dan Baitul Iman adalah dalam tempoh 6 bulan. Walaubagaimanapun ianya tertakluk kepada proses rawatan dan pemulihan yang dilalui oleh asnaf samada boleh dilepaskan dari pusat pemulihan atau sebaliknya. Pelatih akan melalui proses penilaian terhadap rawatan dan pemulihan yang dijalankan sebelum seseorang pelatih itu keluar daripada kategori asnaf atau dibebaskan.
Bagi pelatih yang menjalani proses pemulihan secara sukarela, sekiranya proses penilaian yang dilaksanakan melalui Mesyuarat Hal Ehwal Pelatih mendapati, pelatih belum pulih maka proses pemulihan akan disambung semula. Manakala bagi pelatih yang masuk ke Rumah Pemulihan Majlis melalui perintah mahkamah, tempoh pemulihan mereka adalah tertakluk kepada perintah yang dikeluarkan oleh pihak Mahkamah.