Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
28) RIBUT TROPIKA ‘JELAWAT’
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menghadapi kesan ribut tropika 'jelawat'?
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 17 Disember 2023 telah mengeluarkan nasihat ribut tropika Jelawat yang bergerak ke arah barat kira-kira 396 kilometer (km) timur laut Davao, Filipina. Menurut MetMalaysia, ribut berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 1,254 km dari timur laut Sandakan dan bergerak selaju 20 km sejam serta boleh mencapai halaju maksimum 65 km sejam. Walau bagaimanapun, menurut MetMalaysia ia tidak mendatangkan kesan signifikan kepada Malaysia.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor telah bersedia dan mengambil langkah-langkah dalam menghadapi segala kejadian bencana termasuk kesan ribut tropika ‘jelawat’. Kerajaan Negeri telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bil. 1/2023 pada 23 Oktober 2023 yang telah dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat ini bagi menyelaraskan maklumat berkaitan tinjauan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), serta mendapatkan maklum balas agensi berhubung kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Ini termasuk status anggota bertugas, aset-aset, serta keperluan logistik oleh setiap agensi/jabatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan segera di semua lokasi bencana. JPBD dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah bersiapsiaga memainkan peranan masing-masing bagi menghadapi musim MTL dengan melaksanakan operasi dan koordinasi bersepadu di peringkat daerah dan negeri.
Semua jabatan dan agensi memainkan peranan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Segala bantuan pengoperasian bersepadu hendaklah diselaraskan melalui JPBD bagi Tahap 1 manakala JPBN bagi
Tahap 2.Semua Pegawai Daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan di peringkat daerah dengan segera bagi memastikan perancangan awal dalam pengurusan aset pemindahan dan menyelamat, pengurusan pusat pemindahan serta bekalan bahan mentah yang mencukupi.
Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dimohon memaklumkan kawasan-kawasan hotspot serta berisiko banjir kepada JPBD dan JPBN, serta bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) bagi tujuan penyelenggaraan dan mengedarkan pelan hotspot banjir. Semua aset seperti pam air / banjir (pelbagai jenis), stesen telemetri, stesen amaran, stesen sukatan luahan, stesen curahan hujan, stesen paras air, dan stesen kamera pemantauan banjir dipantau secara harian bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan bersedia.
Polis Diraja Malaysia Negeri Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor (APM) dan Briged 11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga, di mana semua agensi telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. Aset-aset yang digunakan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah ditempatkan di lokasi strategik seperti di pangkalan hadapan di setiap daerah.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bersedia dengan pewartaan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan penetapan dan pengendalian mangsa yang mengalami masalah kesihatan dikuatkuasakan. Bekalan keperluan asas semasa bencana juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi.
Bagi melancarkan penyelarasan tindakan setiap agensi/kerajaan, Kerajaan Negeri telah memutuskan penugasan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL seperti berikut:
Unit Pengurusan Bencana melalui Smart Selangor Operations Centre (SSOC) beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan District Disaster Opertaion Centre (DDOC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian Bencana di Negeri Selangor.