Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
346) REMAJA TIDAK BERSEKOLAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani masalah belia dan remaja bawah 17 tahun yang tidak bersekolah?
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat terhadap isu melibatkan isu remaja tidak bersekolah dalam kalangan anak-anak negeri Selangor. Bagi menangani isu remaja bawah 17 tahun yang tidak bersekolah dalam kalangan murid-murid sekolah-sekolah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor), program-program berikut telah diadakan:
- Program Intervensi murid berisiko cicir DEMI SELANGOR diadakan bagi meningkatkan motivasi hadir ke sekolah. Murid berfokus berisiko cicir yang dikenalpasti tidak hadir telah melebihi 14 hari akan dibimbing melalui program mentor mentee secara berterusan oleh pentadbir dan guru- guru melalui Program 1Pentadbir 1Murid. Perkembangan kehadiran murid akan dipantau sehingga mereka konsisten hadir ke sekolah mengikuti sesi pembelajaran.
- Sebagai pengukuhan kepada Program 1Pentadbir 1Murid, ziarah cakna melibatkan kunjungan pentadbir dan guru ke rumah murid dengan kebenaran ibubapa/penjaga dilaksanakan untuk mengenalpasti dan memahami masalah murid serta mempertimbangkan inisiatif kolaboratif daripada agensi yang berkaitan.
- Bagi meningkatkan kerjasama dengan pihak komuniti, Taskforce Komuniti diwujudkan melalui perbincangan berkala melibatkan agensi seperti Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta (PIBKS), Lembaga Zakat Selangor, Polis Diraja Malaysia, Penghulu Mukim, Pejabat Tanah dan Daerah Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Task force ini bersidang sebanyak 3 kali setahun melibatkan 50 orang ahli pelbagai agensi.
- Susulan Taskforce Komuniti yang ditubuhkan, Seminar Menangani Masalah Ketidakhadiran Murid telah diadakan di Jabatan Tenaga Atom Malaysia pada 23 September 2024 melibatkan Exco Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta, agensi negeri seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penghulu mukim melibatkan 200 orang peserta pelbagai agensi.
- Latihan Kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling diadakan bagi memperkasa kemahiran intervensi menangani murid berisiko cicir. Sebanyak 9 siri Kursus Kompetensi Guru Bimbingan dan Kaunseling melibatkan 580 orang guru bimbingan dan kaunseling dengan kerjasama Yayasan MBI diadakan sepanjang tahun 2024.
- Kerjasama JPN Selangor dengan Lembaga Zakat Selangor melibatkan program sokongan akademik, sahsiah, motivasi, bakat dan keibubapaan bagi 60 buah sekolah sebanyak 216 program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROZAS). Seramai 8162 orang murid asnaf dilaksanakan menggunakan sumber RM1,440,000.00 peruntukan zakat daripada pihak Lembaga Zakat Selangor bermula Jun hingga November 2024.
- Kolaborasi dengan pihak berkuasa agama negeri (Jabatan Agama Islam Selangor) juga dilaksanakan melalui pengumuman Kempen Jom Hadir ke Sekolah dan Jom Hadir SPM sebelum solat Jumaat di seluruh masjid-masjid negeri Selangor.
- Pemakluman melalui temubual Radio Selangorfm juga dilaksanakan pada 1 Januari 2025 yang lalu, sebagai promosi Kempen Jom Hadir Ke Sekolah dan Jom Hadir SPM bagi meningkatkan kecaknaan murid, ibu bapa dan komuniti tentang pentingnya pendidikan bagi mengelakkan keciciran murid.
- Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan, JPN Selangor dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (Negeri Selangor) juga telah menerbitkan Buku Inspirasi karya guru-guru untuk menyebar luaskan usaha warga pendidikan memotivasi dan melaksanakan intervensi kepada murid-murid supaya terus kekal bermotivasi untuk hadir ke sekolah.
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk mengesan mereka ini?
JPN Selangor telah mengambil beberapa langkah strategik untuk mengesan dan menangani masalah belia dan remaja bawah 17 tahun yang tidak bersekolah. Langkah-langkah ini melibatkan pemantauan, kerjasama dengan pihak sekolah, dan program intervensi awal yang bertujuan untuk mengenal pasti golongan yang berisiko tercicir dan memberikan sokongan yang sewajarnya. Berikut adalah beberapa langkah yang diambil:
- Pangkalan Data dan Sistem Pemantauan
JPN Selangor sentiasa mengumpul data berkaitan remaja yang tidak hadir ke sekolah, tidak mendaftar di sekolah, atau tercicir dari sistem pendidikan. Ini termasuk penyediaan sistem pemantauan yang melibatkan sekolah, ibu bapa, dan komuniti. Pangkalan data ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pelajar yang tidak hadir secara konsisten atau terlibat dengan masalah disiplin yang mungkin menyebabkan mereka berhenti sekolah. Sistem pangkalan data yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga membantu untuk mengesan pelajar yang tidak berdaftar atau tidak hadir ke sekolah secara berterusan Sistem seperti Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) e-Kehadiran, Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dan Dashboard Murid Berisiko Cicir SPM Kementerian Pendidikan Malaysia dapat membantu pihak berkuasa mengesan dan menjejaki rekod pendidikan murid, termasuk mereka yang tidak bersekolah
- Kerjasama Antara Sekolah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Komuniti
Sekolah memainkan peranan utama dalam mengesan remaja yang tidak hadir atau tidak mengikuti pembelajaran dengan baik. Guru-guru dan pentadbir sekolah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda remaja yang berisiko tercicir dan melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan atau jabatan pendidikan untuk tindakan lanjut. Pihak PBT juga terlibat dengan memantau golongan remaja melalui program komuniti dan pusat-pusat belia. Mereka bekerjasama dengan NGO dan persatuan masyarakat setempat untuk mengenal pasti keluarga yang menghadapi kesukaran dan belia yang terpinggir dari pendidikan
- Penubuhan Pasukan Pemantauan dan Siasatan
JPN Selangor menubuhkan pasukan yang terdiri daripada pegawai pendidikan, pegawai kebajikan, dan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan remaja yang tidak bersekolah. Tinjauan di kawasan kejiranan dilaksanakan untuk meninjau keadaan dan menemui remaja yang tercicir. Melalui Program Ziarah Cakna dan Task Force Komuniti sebagai contoh yang telah dilaksanakan, remaja yang tidak bersekolah ini dapat dikenal pasti masalah dan punca mereka tidak bersekolah. Begitu juga dengan tinjauan ketua-ketua kampung, ketua blok taman perumahan dan rondaan penguatkuasa pada waktu persekolahan dapat memantau remaja-remaja yang tidak bersekolah ini.
- Kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan NGO
JPN Selangor bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat. Program ini dapat mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dan menyampaikan maklumat kepada remaja yang mungkin tidak bersekolah. Taskforce Komuniti diwujudkan melalui taklimat, seminar dan perbincangan melibatkan agensi seperti Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta (PIBKS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Zakat Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Penghulu Mukim Pejabat Tanah dan Daerah Negeri Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pemantauan, kecaknaan dan pengesanan.
- Program Kaunseling dan Intervensi Awal
Program kaunseling yang disediakan oleh sekolah, pejabat pendidikan daerah dan JPN Selangor berfungsi untuk mengenal pasti remaja yang menghadapi masalah sosial, psikologi, atau keluarga yang boleh menyebabkan keciciran pendidikan. Guru bimbingan dan kaunseling sekolah dilatih untuk memberikan intervensi awal kepada remaja yang mengalami masalah. Selain itu, pihak sekolah sering mengadakan sesi perbincangan atau temu bual dengan ibu bapa untuk mengenal pasti masalah yang mungkin dihadapi oleh anak mereka, sama ada berkaitan dengan pembelajaran atau masalah luar sekolah.
- Program Pendidikan Alternatif (Kemahiran)
JPN Selangor telah melaksanakan beberapa program pendidikan alternatif untuk membantu remaja yang tercicir untuk kembali ke dalam sistem pendidikan. Program ini sering disasarkan kepada remaja yang telah lama terpinggir dan tidak bersekolah. Kolej Vokasional dan kursus kemahiran disediakan untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan formal untuk belajar dalam suasana yang lebih fleksibel dan relevan
- Penggunaan Teknologi untuk Pembelajaran Dalam Talian (Online)
Dalam situasi semasa, JPN Selangor juga memanfaatkan teknologi untuk memantau remaja-remaja ini dan memberikan pendidikan jarak jauh bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sekolah secara fizikal. Platform pembelajaran dalam talian yang disediakan oleh kerajaan atau sekolah memberi peluang kepada remaja yang tidak bersekolah untuk terus mengakses bahan pendidikan dan mengikuti kelas secara maya.
Penggunaan aplikasi atau sistem digital untuk memantau kehadiran dan prestasi mereka juga dilaksanakan sebagai usaha untuk memastikan mereka yang tercicir mendapat perhatian yang sepatutnya.
Kesimpulan
Langkah-langkah JPN Selangor dalam mengesan remaja yang tidak bersekolah adalah satu usaha yang melibatkan pemantauan berterusan, kerjasama pelbagai pihak, dan intervensi awal yang proaktif. Dengan adanya program kaunseling, penglibatan komuniti, kempen kesedaran, dan penggunaan teknologi, JPN Selangor berusaha untuk memastikan bahawa golongan belia ini diberi peluang yang adil untuk kembali ke dalam sistem pendidikan atau mendapatkan latihan kemahiran yang dapat membantu mereka berkembang dalam kehidupan
-
Berapakah jumlah terkini belia dan remaja dibawah 17 tahun yang tidak bersekolah di Negeri Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2024, seramai 3,213 orang belia dan remaja yang di bawah 17 tahun telah keluar dari sistem pendidikan sekolah KPM di Negeri Selangor. Berdasarkan data daripada sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), jumlah bilangan dan sebab-sebab murid keluar daripada sekolah KPM di Negeri Selangor pada tahun 2024 yang dikategorikan dalam golongan belia dan remaja yang berada di bawah 17 taun adalah seperti berikut: