Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
96) REL HUBUNGAN PANTAI TIMUR (ECRL)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan terkini projek ECRL di Negeri Selangor?
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km adalah projek infrastruktur rel yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Projek ECRL ini terdiri daripada 20 stesen secara keseluruhannya. Stesen ECRL bermula dengan dua (2) stesen di negeri Kelantan, enam (6) stesen di negeri Terengganu, tujuh (7) stesen di negeri Pahang dan lima (5) stesen di negeri Selangor. Stesen-stesen yang terdapat di negeri Selangor khususnya adalah Stesen ITT Gombak (stesen penumpang), Stesen Bandar Serendah (stesen penumpang dan kargo), Stesen Puncak Alam (stesen penumpang), Stesen Kapar (stesen penumpang), dan Stesen Jalan Kastam (stesen penumpang dan kargo). Jumlah keseluruhan panjang jajaran di negeri Selangor adalah 121.17 km yang merangkumi jajaran utama 91.36km dan jajaran sisihan 29.81 km.
Pada masa ini, pembinaan projek ECRL melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen, pembinaan terowong dan pemasangan landasan (track laying) sedang giat dilaksanakan di sepanjang jajaran. Sehingga bulan Mei 2024, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 67.09% manakala kemajuan kerja pembinaan di negeri Selangor telah mencapai 29.68%. Satu (1) terowong iaitu Terowong Sungai Buaya 2 daripada keseluruhan sembilan (9) terowong di negeri Selangor telah ditembusi manakala bagi struktur jambatan, sejumlah empat (4) daripada 35 jambatan sedia untuk pemasangan rasuk (beam launching). Proses pengambilan tanah masih berjalan bagi beberapa kawasan dan pada masa kini kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan untuk memastikan tempoh penyiapan projek ini dapat dipatuhi.
Pada masa ini, tarikh penyiapan projek ECRL bagi Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke ITT Gombak di Selangor masih kekal seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026. Manakala penyiapan bagi Fasa seterusnya di negeri Selangor iaitu dari Gombak hingga ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada 31 Disember 2027.
-
Berapakah jumlah tanah yang telah diserah untuk projek ECRL?
Jumlah tanah yang telah diserahkan untuk projek ECRL adalah melibatkan tanah milikan sebanyak 827 hak milik yang terlibat selain daripada tanah hak milik kerajaan dan juga rizab hutan. Proses pengambilan tanah yang telah dijalankan bermula dari Jun 2023 telah melibatkan sebanyak 602 lot tanah yang telah selesai pengambilan serta pembayaran dan telah dimasuki oleh pihak kontraktor untuk menjalankan kerja.