Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
148) RASUAH DI KALANGAN PENJAWAT AWAM
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah kes rasuah di kalangan penjawat awam Negeri Selangor.
Berdasarkan rekod pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Selangor bermula Januari sehingga Oktober 2017, tiada kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang disabitkan ke atas kakitangan awam di Negeri Selangor.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh berkenaan, terdapat 37 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak SPRM melibatkan kakitangan awam di Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, empat belas (14) daripadanya adalah penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dan selebihnya 23 adalah penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Negeri Selangor. Kesemua kertas siasatan berkenaan masih dalam tindakan.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi mengekang gejala rasuah tersebut?
Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk memastikan tadbir urus organisasi dan penginstitusian integriti dilaksanakan secara efisien dalam membendung sebarang bentuk salah laku di kalangan penjawat awam terutamanya yang melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam mencapai hasrat ini, antara dasar dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuklah:
Mewujudkan hubungan langsung dengan pihak SPRM Negeri Selangor serta pihak Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) di Ibu Pejabat SPRM dalam mengambil langkah pencegahan serta penguatkuasaan terhadap jenayah salah laku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa;
Mewujudkan hubungan langsung dengan Unit Integriti di setiap jabatan/agensi dalam memberikan penerangan berkenaan integriti dan dalam masa yang sama membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan kakitangan masing-masing;
- Mengadakan kursus, seminar, bengkel dan taklimat berhubung tatakelakuan dan salahlaku rasuah;
- Mengedarkan risalah-risalah berkaitan tatakelakuan dan salahlaku rasuah;
- Memberikan komitmen akan turut serta menjayakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan mewujudkan inisiatif-inisiatif dalam membendung gejala rasuah; dan
- Menyediakan saluran aduan integriti yang melibatkan penjawat awam melalui emel, talian telefon, faks, surat dan walk-in di Unit-unit Integriti yang ditubuhkan bagi memudahkan penyaluran aduan integriti sama ada dari kalangan kakitangan mahu pun orang awam.