Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
111) RANTAIAN MESRA SDN BHD (RMSB)
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan ahli lembaga, pemegang saham dan pengurusan kanan RMSB?
Ahli-ahli Lembaga Pengarah RMSB adalah terdiri daripada YB. Dato’ Nordin Bin Sulaiman (Dato’ Pegawai Kewangan Negeri Selangor), YB. Puan Hajjah Rodziah Binti Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita) dan YB. Tuan Haji Dr. Abdul Rani Bin Osman (Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Meru).
Pengurusan Kanan RMSB pula terdiri daripada En. Kamsani Nasir (Ketua Pegawai Operasi) dan En. Arba’ain Abdul Rahman (Pengurus Kanan).
-
Apakah peranan dan objektif penubuhan RMSB?
Selain daripada dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dan memantau beberapa program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), tugas utama RMSB adalah untuk mempromosikan semua program-program MES kepada seluruh rakyat di Selangor melalui program-program yang dirangka termasuklah taklimat dan penerangan, pameran dan membuka kaunter penerangan serta apa juga cara yang dirasakan sesuai bagi mempromosikan program-program yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
-
Nyatakan pendapatan dan keuntungan RMSB sepanjang 2008-2013?
RMSB bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Negeri Selangor melalui geran yang diluluskan. Ia tidak ditubuhkan bagi tujuan untuk menjalankan aktiviti berdasarkan keuntungan selain daripada apa yang telah dinyatakan di atas.