Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

134) RANCANGAN TEMPATAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Rancangan Tempatan PBT berkaitan Pelan Induk Sistem Saliran bagi kawasan yang telah di zon kan sebagai kawasan kediaman, komersial dan perindustrian?

    Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pelan Induk Sistem Saliran yang dibangunkan memiliki hubung kait dalam konteks perancangan dan pembangunan sesuatu kawasan atau wilayah. RT adalah dokumen perancangan penggunaan tanah dan pembangunan infrastruktur di peringkat PBT.

    RT mengambil kira guna tanah zon perancangan (zoning) sesuatu kawasan untuk ditentukan sebagai perumahan, pertanian, perindustrian atau perniagaan. Pelan Induk Sistem Saliran pula memberikan panduan tentang bagaimana sistem saliran air di wilayah tersebut harus dikembangkan dan dikelola sesuai dengan zoning yang direncanakan dalam RT PBT berkenaan.

    RT dan Pelan Induk Sistem Saliran kedua-duanya dijadikan sebagai sumber rujukan utama apabila melibatkan konsultasi bersama pihak-pihak berkepentingan seperti Kerajaan Negeri, YB Ahli Dewan Negeri, YB Ahli Parlimen dan orang awam. Oleh yang demikian, Pelan Induk Sistem Saliran dan RT adalah dokumen yang saling melengkapi dalam merancang pembangunan sesuatu kawasan secara lestari dengan mempertimbangkan aspek-aspek penggunaan tanah, infrastruktur, zoning, dan impak sosial.

  2. Apakah status pelaksanaan Lembah Klang Raya?

    Selangor Greater Klang Valley (Lembah Klang Raya Negeri Selangor) merupakan cadangan untuk mewujudkan pentadbiran yang meliputi satu sistem pentadbiran bagi empat (4) PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melalui pewujudan Enakmen Lembah Klang Raya.

    Pewujudan satu sistem pentadbiran ini adalah bertujuan untuk menambah baik dan melicinkan urusan berkaitan kualiti perkhidmatan PBT, pengangkutan awam, rejuvenasi kawasan kediaman dan komersial sedia ada dan isu tanah pegangan pajakan yang hampir matang.

    Kerajaan Negeri pada bulan Januari 2024 telah meluluskan penubuhan Pejabat Urus Setia Sementara dan Jawatankuasa Induk bagi cadangan untuk menubuhkan Majlis Lembah Klang Raya Negeri Selangor.

    Pejabat Urus Setia Sementara berperanan untuk mengkaji dan merangka aspek-aspek yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan iaitu dari segi pewujudan enakmen (perundangan), perancangan pembangunan perbandaran/ rejuvenasi, aspek tadbir urus dan kewangan meliputi perancangan pentadbiran pembangunan Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya Negeri Selangor.

    Jawatankuasa Induk pula adalah berperanan untuk mempertimbangkan cadangan hasil kajian daripada Pejabat Urus Setia Sementara tersebut sebelum dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.