Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
310) RANCANGAN STRUKTUR NEGERI SELANGOR 2035
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah jaminan Kerajaan Negeri untuk memastikan pengubahan Rancangan Struktur (RS) Negeri Selangor 2035 akan menyatakan dengan jelas tidak ada pembangunan ‘high intensity' di kawasan sensitif alam sekitar, kawasan risiko bahaya dan kawasan risiko bencana di seluruh Negeri Selangor?
Pembangunan bagi kawasan sensitif alam sekitar, kawasan berisiko bahaya dan kawasan berisiko bencana dikawal secara serius dalam dokumen perancangan di peringkat Negara, Negeri dan Tempatan berdasarkan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) iaitu
a) Rancangan Fizikal Negara (RFN);
b) Rancangan Struktur Negeri (RS); dan
c) Rancangan Tempatan (RT).
Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), telah menambahbaik Teras 2, berkenaan menjadikan Negeri Selangor Ke Arah Negeri Mampan dan Berdaya Tahan. Di bawah teras ini, digariskan satu dasar khusus iaitu Dasar MP16, berkenaan dengan perancangan dan pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang perlu diurus berdasarkan tahap kesensitifan kawasan yang diintegrasikan dengan perancangan guna tanah keseluruhan. Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), ini turut melampirkan bersama Pelan KSAS bagi keseluruhan Negeri Selangor.
Dasar MP16 ini diperincikan melalui Inisiatif Pelaksanaan P1: Mengawal Pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Secara Bersepadu Berdasarkan-
a) Tahap KSAS 1: Kawasan Penting Yang Telah Diwartakan;
b) Tahap 2: Kawasan Yang Masih Belum Diwartakan Tetapi Dikenalpasti Sebagai Habitat Penting; dan
c) Tahap 3: Kawasan Penggunaan Mampan.
Kriteria Pengurusan KSAS Negeri Selangor telah diselaraskan dengan kriteria pengurusan KSAS di dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).
- Bagi memantapkan kawalan perancangan berkenaan dengan pengurusan kawasan berisiko bahaya dan berisiko bencana, Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) telah memperkenalkan satu dasar baharu iaitu Dasar MP33, berkaitan Agenda Pengurusan Risiko Bencana Akan Diarusperdana Diperingkat Perancangan dan Pengurusan Pembangunan.
- Kawalan intensiti pembangunan di semua kawasan termasuk KSAS, kawasan berisiko bahaya dan bencana, akan di perincikan secara ‘lot based’, di dalam Rancangan Tempatan menerusi Peta Cadangan Guna Tanah (Zoning) dan Jadual Kelas Kegunaan Tanah (KGT). Peta Cadangan Guna Tanah (Zoning) dan Jadual Kelas Kegunaan Tanah (KGT) ini dijadikan sebagai panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semasa mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang di peringkat PBT.
- Kerajaan Negeri Selangor telah menjadikan kelulusan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) Negeri Selangor sebagai keperluan mandatori bagi cadangan pemajuan yang hendak dilaksanakan di kawasan KSAS (melibatkan tanah tinggi dan lereng bukit dan tanah gambut). Kelulusan dan perakuan Jawatankuasa ini perlu diperolehi terlebih dahulu, sebelum proses kebenaran merancang (KM) dipertimbang dan diluluskan oleh PBT. Jawatankuasa ini memainkan peranan untuk-
a) membuat keputusan / nasihat mengenai had pembangunan yang boleh dilaksanakan;
b) menilai kesesuaian pembangunan Pelan Susun Atur, Laporan Cadangan Pemajuan (LCP), Laporan Pemetaan/Geologi Terain, Pelan Kerja Tanah, Laporan Penyiasatan Geoteknikal dan Analisis Kestabilan Cerun, Laporan Pelan Kawalan Mendapan Kelodak dan Hakisan (ESCP), Laporan Pengurusan Air Ribut (Stormwater Management Report) berpandukan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) 2012, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan lain-lain laporan yang berkaitan permohonan yang melibatkan kawasan berkecerunan kelas III dan IV;
c) mengemukakan syor-syor berkaitan pembangunan tanah tinggi kepada Jawatankuasa Perancang Negeri atau Pihak Berkuasa Negeri (melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor); dan
d) mengemukakan keputusan syor-syor kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan;
Oleh yang demikian, kawalan perancangan bagi pembangunan berintensiti tinggi di kawasan KSAS, kawasan berisiko bencana dan bahaya akan dikawal di beberapa peringkat perancangan. Pelbagal Instrumen kawalan perancangan juga akan digunakan bukan sahaja di peringkat Negeri melalui Rancangan Struktur (RS), tetapi juga akan diteliti secara lebih terperinci di dalam RT yang disediakan oleh PBT.