Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
95) RANCANGAN STRUKTUR NEGERI SELANGOR 2035
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Keperluan pengubahan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 merangkumi antara lain, Laporan Pemantauan dan Penilaian Outcome (LPPO). Sejauh manakah LPPO diberikan tanggungjawab untuk memastikan penerapan agenda perancangan serta isu dan cabaran pelaksanaan pembangunan di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1)?
- Rancangan Struktur Negeri merupakan ‘legal binding document’ yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976, (Akta 172). Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RS Negeri Selangor 2035) telah diwartakan pada 2 Februari 2017 dengan No. Warta: 301. RS Negeri Selangor 2035 ini belum pernah dipinda atau ditambah baik selepas tempoh pewartaannya pada tahun 2017.
- Berdasarkan peruntukan subseksyen 11(1) Akta 172, “sesuatu rancangan struktur yang telah mula berkuat kuasa hendaklah tertakluk kepada kajian semula tiap-tiap lima tahun seiring dengan penyediaan rancangan pembangunan lima (5) tahun Negeri, dan kajian semula itu hendaklah berhubungan dengan seluruh Negeri itu”.
- Subseksyen 11(2) memperuntukkan selepas suatu rancangan struktur negeri telah mula berkuat kuasa, Pengarah Negeri (Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri) itu, boleh mengemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) berkenaan dengan cadangan bagi kajian semula atau pengubahan kepada rancangan itu sama ada untuk keseluruhan atau sebahagian daripada rancangan struktur negeri itu.
- Justeru pada tahun 2022, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) telah mengambil inisiatif melaksanakan pemantauan RS Negeri Selangor 2035 melalui penyediaan Laporan Pemantauan dan Penilaian Outcome (LPPO) RSN Selangor 2035.
- LPPO ini digunakan sebagai satu kaedah menganalisis dasar dan strategi yang digariskan dalam RS Negeri Selangor 2035, bagi –
- mengenalpasti keberkesanan dasar dan strategi yang digariskan;
- mengenalpasti status pelaksanaan inisiatif yang digariskan di dalam RS Negeri Selangor 2035 oleh setiap agensi pelaksana;
- mengenalpasti kerelevanan dasar dan strategi yang digariskan; dan
- membantu Jabatan membuat keputusan sama ada RS Negeri Selangor 2035 perlu diubah atau digantikan hasil daripada analisis yang dibuat di dalam LPPO.
- Dapatan analisis maklum balas daripada pihak-pihak yang berkepentingan berhubung status pelaksanaan semasa dasar di dalam RS Negeri Selangor 2035 adalah seperti berikut:
- 93% atau 64 daripada 69 dasar RS Negeri Selangor 2035 masih sesuai dan relevan untuk diguna pakai;
- 17% iaitu tiga (3) dasar perlu ditambah baik; dan
- dua (2) dasar perlu semakan semula atau perlu digugurkan dalam RS Negeri Selangor 2035.
- Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pula disediakan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. RS-1 merupakan rancangan pembangunan lima (5) tahun Kerajaan Negeri Selangor bagi mencapai matlamat menjadi negeri yang pintar, berdaya huni dan makmur. Penyediaan agenda pembangunan yang direncanakan dalam RS-1 telah mengambilkira dasar-dasar Negeri sedia ada termasuk RSN Selangor 2035.