Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

225) RANCANGAN STRUKTUR NEGERI SELANGOR 2035

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. RSN Selangor 2035 telah meletakkan bagi bekalan air, sasaran indikator 'non revenue water' pada 2020 belum dicapai. Apakah langkah-langkah yang telah/ akan diambil untuk mengurangkan ketidakberhasilan sumber air?

    Mengikut RSN Selangor 2035, sasaran indikator ‘non-revenue water’ (NRW) pada 2020 adalah merujuk kepada sasaran NRW yang telah diunjurkan 10 tahun lalu iaitu pada tahun 2012 oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Sasaran tersebut sudah tidak sesuai untuk digunapakai mengikut permintaan & penawaran (supply & demand) semasa.

     

    Manakala, Air Selangor pula telah diberi sasaran mengikut penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) tahunan bagi sasaran penurunan NRW yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Bagi tahun 2020, Air Selangor telah mencapai sasaran NRW pada kadar 28.5% berbanding sasaran 30.2% seperti yang telah ditetapkan oleh pihak SPAN.

     

    Antara usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Air Selangor untuk menurunkan kadar NRW adalah mengesan dan membaiki kebocoran pada paip utama dan paip komunikasi, menggantikan paip utama dan paip komunikasi lama yang kritikal, menggantikan meter air yang rosak dan berusia yang tidak dapat merekodkan penggunaan air dengan tepat (degraded meters) serta melaksanakan pembentukan kawasan imbangan air (water balance area), zonpengurusan tekanan air (water pressure management zone) dan zon pemeteran daerah (district metering zone).

Lampiran

Tiada Lampiran.