Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

24) RANCANGAN SELANGOR 1

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran penambahan kepada KDNK negara yang disumbang melalui program/ projek/ inisiatif Rancangan Selangor 1?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan nombor 226 dari YB Gombak Setia.

     

    Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah sumbangan sebanyak 25.5% pada tahun 2022. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan 0.7 peratus berbanding 24.8% sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2021. Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.7% dengan Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 11.9% pada tahun 2022 yang melebihi sasaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu pertumbuhan KDNK sebanyak 6.5% hingga 7% (purata 2021 – 2025).

     

    Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dijangka akan dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka perlahan disebabkan kelembapan ekonomi global. Pada Oktober 2023, menurut Bank Dunia, ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.9 peratus pada tahun ini daripada unjuran awal 4.3 peratus berikutan permintaan luaran yang lemah dengan beberapa cabaran utama berterusan di peringkat domestik, termasuk ruang fiskal yang semakin sempit, apabila hasil cukai kerajaan terus menurun. Pertumbuhan ekonomi negara ini juga sensitif terhadap prestasi ekonomi luar, terutama rakan dagang terbesar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui RS-1 sedang giat melaksanakan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi seperti Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) di Kuala Langat dan Sepang, Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) di hilir Sungai Klang sebagai usaha berterusan yang menggalakkan pelaburan dan mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan bagi memastikan Selangor berada dalam landasan yang tepat dalam memastikan sasaran sumbangan 30% kepada KDNK negara menjelang tahun 2025 tercapai. Dalam masa yang sama ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan kajian separuh penggal(KSP) RS-1 untuk menilai pencapaian RS-1 bagi tempoh 2021 sehingga 2023. Berdasarkan pencapaian KSP RS-1 ini, isu dan jurang akan dikenalpasti untuk menambahbaik strategi dan kaedah pelaksanaan bagi memastikan sasaran-sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dan direalisasikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.