Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
183) RANCANGAN RUMAH KOS RENDAH
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah membeli rumah-rumah kos rendah di dalam kawasan-kawasan Pekan di Negeri Selangor ?
Dasar Kerajaan Negeri dalam membantu golongan ini memiliki rumah dengan memastikan pembinaan rumah mampu milik atau kos rendah sentiasa mencukupi dan menampung permintaan di kawasan-kawasan pekan ataupun di luar Lembah Klang. Kerajaan Negeri juga masih mengekalkan harga rumah kos rendah di kawasankawasan tersebut antara RM35,000.00 hingga RM42,000.00 seunit supaya golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah kos rendah.
Di samping itu, dasar Kerajaan Negeri telah menetapkan tanah yang berkeluasan 10 ekar ke atas hendaklah mempunyai komponen pembangunan rumah kos rendah. Dasar ini juga terpakai di kawasan-kawasan pekan di mana pemaju mestilah membina rumah kos rendah dan tidak akan diberi pengecualian sekiranya telah disyaratkan membina rumah jenis tersebut.
Beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan hanya golongan yang berkelayakan sahaja memiliki rumah kos rendah (RKR) di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri pada tahun 2008 telah menetapkan hanya mereka yang mendaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sahaja layak membeli rumah kos rendah. Dasar ini telah menetapkan 100% nama pembeli RKR mestilah menggunakan senarai nama daripada Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR) yang berpusat di LPHS. Bagi memastikan nama-nama pemohon yang ditawarkan RKR tidak dipertikaikan, nama-nama pemohon yang berjaya akan dipaparkan dalam laman web LPHS. Sekiranya ada bantahan terhadap mana-mana nama yang dipamerkan ianya akan disiasat dan jika didapati benar maka tawaran RKR kepada pemohon tersebut akan dibatalkan.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membina rumah kos rendah yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah di kawasan-kawasan tersebut ?
Kerajaan Negeri mendapati adanya keperluan perumahan jenis kos rendah di kawasan pekan khusus untuk golongan berpendapatan rendah. Pemaju yang telah disyaratkan membina rumah kos rendah tidak akan diberi pengecualian daripada membina rumah jenis tersebut sebagai langkah memastikan penduduk kawasan pekan dapat memiliki rumah sendiri. Walau bagaimanapun, tanggungjawab membina rumah kos rendah bukan sahaja dibina oleh anak syarikat Kerajaan Negeri malahan turut dibangunkan oleh pemaju-pemaju swasta.