Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
51) Rancangan Pembesaran Kampung Tradisi
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan baru bagi pembesaran kampung tradisi?
Kerajaan Negeri buat masa ini tiada sebarang perancangan baru bagi projek pembesaran kampung tradisi.
-
Berapa banyak projek pembesaran kampung tradisi yang menjadi isu projek pembinaan rumah terbengkalai?
Mengikut rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor sebanyak lapan (8) projek pembesaran kampung yang menjadi isu projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu projek perumahan yang terbengkalai di Kg Bukit Kerayong (Bukit Kerayong Indah)?
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha memberikan komitmen dalam mengatasi masalah projek ini melalui beberapa siri perbincangan bersama kontraktor sehingga Disember 2019 seperti berikut:
- LPHS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) memutuskan agar kontraktor menjalankan kerja-kerja pemulihan secara berperingkat bermula dengan Fasa 1 (Desa 3 dan Desa 4) dengan 100% persetujuan pemilik. Siasatan tapak pada bulan Julai 2020 mendapati status projek pembinaan bagi Desa 3 dan Desa 4 hanya mencapai tahap 20%-80% sahaja. Terdapat 5 unit rumah pemilik yang telah dibaikpulih untuk dijadikan rumah contoh. Kontraktor juga gagal untuk mendapatkan persetujuan daripada 100% pemilik bagi meneruskan projek ini.
- Majlis Daerah kuala Selangor (MDKS) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) telah mengadakan perbincangan bersama semua jabatan teknikal PBT dan pihak berkepentingan bertujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
- LPHS juga berperanan bagi mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pemilik dapat berurusan dengan pihak bank bagi menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.
- Sehingga kini projek ini masih belum dapat dipulihkan oleh kontraktor disebabkan terdapat isu tanah dan isu teknikal diperingkat PBT yang belum masih belum dipatuhi oleh kontraktor. Pihak kontraktor juga dalam proses menunggu keputusan permohonan rayuan kepada pihak SPAN berhubung cadangan penggunaan tangki septik individu bagi Desa 1 hingga Desa 8.