Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
100) RANCANGAN PEMBESARAN KAMPUNG JENDERAM HILIR, TAMAN JENDERAM MURNI (FASA 2)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini perlaksanaan Fasa 2 projek ini?
Latar Belakang
Kampung Jenderam Hilir ini merupakan tanah kerajaan (Rizab Melayu) yang dahulunya telah ditetapkan sebagai kawasan Rancangan Pembesaran Kampung Jenderam Hilir bagi maksud kediaman. Ianya dibuka untuk permohonan bagi pemberimilikan tanah kerajaan kepada penduduk kampung pada lingkungan tahun 1990-an dengan keluasan lebih kurang ¼ ekar berdasarkan Pelan Pertapakan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor. Walau bagaimanapun tanah ini diberimilik kepada Syarikat Benih Unggul Sdn. Bhd melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 19/99 pada 23 Jun 1999 dengan syarat pihak syarikat membuat perjanjian dengan 200 orang peserta yang diperakukan oleh Jawatankuasa Tanah Daerah untuk diberikan rumah teres (1) tingkat berukuran 20’x65’ secara percuma sebagai ganti tanah lot seluas ¼ ekar yang sepatutnya diberimilik kepada mereka.
Pada tahun 2008, berlaku pula isu pendudukan tanah Orang Asli di mana Seksyen Makro dan Penswastaan telah mengemukakan satu (1) Kertas EXCO – MTES pada 30 Januari 2008 yang telah diluluskan Pihak Berkuasa Negeri pada ketika itu agar:
- Projek Pembesaran Kampung Jenderam Hilir, Mukim Dengkil, Sepang ini dilaksanakan segera oleh Syarikat Benih Unggul Sdn. Bhd dalam dua (2) fasa iaitu:
- Fasa Pertama melibatkan tanah seluas kira – kira 35 ekar yang perlu dilaksanakan segera merangkumi pembinaan 83 unit rumah dengan keluasan 20’x65’ untuk diserahkan kepada penduduk mengikut keutamaan dengan persetujuan JKKK dan Pejabat Tanah Sepang.
- Fasa Kedua pula yang melibatkan tanah seluas kira – kira 45 ekar bergantung kepada rundingan di antara pemaju dan orang asli dimana selepas selesai rundingan ini, baki 117 unit rumah dengan keluasan yang sama akan dibina dalam Fasa Kedua.
Apabila pemilik tanah, Tetuan Syarikat Benih Unggul Sdn. Bhd dan Pemajunya iaitu Tetuan Sastama Sdn. Bhd hampir selesai melaksanakan Projek Perumahan Fasa Pertama, Pejabat Daerah/Tanah Sepang telah menubuhkan satu (1) panel temuduga pada bulan Jun 2015 yang dianggotai oleh Penolong – Penolong Pentadbir Tanah, Penyelaras DUN Dengkil dan Pengerusi JKKK Kampung Jenderam Hilir untuk memberi keutamaan kepada 83 orang pemohon yang benar – benar berkelayakan dan memerlukan rumah terlebih dahulu untuk Fasa 1 bagi diperakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Senarai nama pemohon yang dipanggil untuk temuduga adalah berdasarkan senarai nama yang diperakukan oleh MMKN Bil 19/99 pada 23 Jun 1999 yang mempunyai alamat lengkap dan boleh dihubungi berjumlah 138 orang.
Pejabat Daerah/ Tanah Sepang seterusnya telah mengangkat Kertas Ringkasan bagi Pengesahan Nama – Nama Terpilih sebagai Peserta Rancangan Pembesaran Kampung bagi Kampung Jenderam Hilir, Mukim Dengkil, Daerah Sepang untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri dan telah diluluskan MMKN Bil.24/2016 pada 27 Julai 2016 bagi penerimaan rumah percuma berukuran 20’x65’ dengan tambahan: Majlis Penyerahan Kunci Rumah Percuma akan disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor.
Penentuan 83 plot rumah pula telah diadakan oleh Syarikat Benih Unggul Sdn. Bhd. pada 13 – 14 September 2016 di Pejabat Pengurusan, Taman Warisan Putra, Jenderam Hilir melalui cabutan undian dengan kehadiran wakil daripada Pejabat Daerah/ Tanah Sepang sebagai Pemerhati. Majlis Penyerahan Kunci Rumah Percuma kepada 83 orang tersebut seterusnya telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor pada 28 Oktober 2016 (Jumaat) jam 10.30 pagi di perkarangan Taman Jenderam Murni, Mukim Dengkil Daerah Sepang.
- Status terkini Fasa 2 masih belum dimulakan kerana melibatkan rundingan bersama Pemaju dan Orang Asli, walau bagaimanapun satu (1) penyelarasan akan diadakan bersama Pemaju dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah/ Negeri Selangor/ Wilayah Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.
-
Apakah bentuk penyelesaian terhadap permasalahan Òkawasan rayauÓ Orang Asli di kawasan tersebut?
Surat daripada Benih Unggul Sdn. Bhd. sebagai pemilik tanah bertarikh 18 Mac 2016 kepada PTD Sepang menyatakan telah mencadangkan penyelesaian dalam bentuk pampasan kepada penempatan masyarakat Orang Asli yang mendiami
baki tanah seluas 45 ekar untuk Projek Pembesaran Kampung Jenderam Hilir, Mukim Dengkil, Daerah Sepang seperti berikut:
- Sebuah rumah semi-D bagi setiap ketua keluarga yang senarainya disahkan oleh Pejabat Daerah/Tanah Sepang.
- Wang Tunai RM50,000.00 bagi setiap ketua keluarga yang senarainya disahkan oleh Pejabat Daerah/Tanah Sepang. iii) Menyediakan pengangkutan bagi urusan perpindahan.
Pihak Pemaju iaitu Sastama Sdn. Bhd. juga telah mengemukakan surat kepada PTD Sepang bertarikh 20 Jun 2016, yang menyatakan spesifikasi dan harga rumah yang dicadangkan untuk 19 keluarga Orang Asli adalah seperti berikut:
Keluasan Tanah Keluasan Binaan Harga Pasaran 40’ x 73’ 25’ x 45’ RM400,000.00 Pentadbir Tanah Sepang berpandangan bahawa:
- Satu (1) bancian perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memuktamadkan bilangan keluarga/ isi rumah masyarakat Orang Asli yang terlibat di kawasan Fasa 2 bersama Pemilik Tanah/Pemaju dan JAKOA Daerah/Negeri.
- Seterusnya rundingan di antara Pemilik Tanah/Pemaju dan masyarakat Orang Asli berhubung tuntutan serta tawaran yang dikemukakan perlu diadakan dengan komitmen daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli di peringkat daerah/negeri/persekutuan.
- Tuntutan serta tawaran yang dikemukakan di antara masyarakat Orang Asli dan Pemilik Tanah/Pemaju haruslah bersifat rasional dan menguntungkan kedua – dua belah pihak.
-
Bilakah dijangka permasalahan ini akan dapat diselesaikan?
Permasalahan ini hanya dapat diselesaikan sekiranya kesepakatan dicapai dari semua pihak yang terlibat terutamanya di antara Pemilik Tanah, Benih Unggul Sdn. Bhd., Pemaju, Sastama Sdn. Bhd. dan Masyarakat Orang Asli melalui JAKOA Daerah/Selangor/Wilayah Persekutuan.