Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
98) RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH (RMK-10)
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kerajaan negeri sudah mengkaji pencapaian RMK-9 dan prospek RMK10 negeri?
Dalam RMKe-9 Negeri Selangor, peruntukan pembangunan yang disediakan
oleh Kerajaan negeri adalah berjumlah RM3.42 bilion. Ianya merupakan
rancangan dan peruntukan untuk tujuan pembangunan bagi tempoh 2006 hingga
2010. Dalam tempoh tersebut sebanyak 76.2 peratus telah pun dibelanjakan iaitu
berjumlah RM2.61 bilion. Program-program pembangunan yang telah
dilaksanakan adalah meliputi program-program Mesra Rakyat, Pembangunan
Ekonomi, Usahawan, Latihan, Pembangunan Insan, Pusat Latihan,
Pembangunan Kampung, dan Pelancongan. Sejak Mac 2008, kerajaan Negeri
Selangor telah menumpukan program dan projek yang berlandaskan polisi
Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor di mana kekayaan dan hasil mahsul
negeri akan dikembalikan untuk kesejahteraan seluruh rakyat negeri Selangor
ini. Maka itulah, pada tahun 2009 peruntukan pembangunan negeri adalah
sebanyak RM787 juta manakala bagi tahun 2010 peruntukan pembangunan
yang disediakan adalah sebanyak RM590.4 juta. -
Apakah strategi kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Selangor menikmati pendapatan tinggi?
Walaupun 90 peratus kawasan di negeri Selangor adalah dikategorikan sebagai
kawasan perbandaran, namun kerajaan Negeri Selangor tidak pernah terlintas
untuk mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan seluruh penduduk yang tinggal
di kawasan luar bandar. Oleh itu, peruntukan yang disediakan untuk tujuan
pembangunan luar bandar pada tahun 2008 sebanyak RM7.5 juta, manakala
bagi tahun 2009 ialah sebanyak RM9.076 juta dan tahun 2010 pula meningkat
kepada RM10.8 juta. Peruntukan ini adalah bagi membangunkan projek-projek
seperti kemudahan asas desa, aktiviti pembangunan kampung, pembangunan
kampung baru, penyelenggaraan jalan kampung dan kemudahan asas sawah
sempadan. -
Apakah nilai tambah dalam menjayakan prospek RMK-10 negeri Selangor?
RMKe-9 bagi Negeri Selangor yang dirancang terdahulu telah dinilai semula
dengan menjadikan Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Selangor
2025 sebagai panduan utama pembangunan Negeri Selangor yang akan datang.
RMKe-10 Negeri Selangor akan mengambil kira aspek pembangunan ekonomi,
pembasmian kemiskinan, pendidikan, pembangunan berterusan, ketelusan,
kebertanggungjawaban dan tindakan integriti, isu gender, inisiatif belia, peluang
pekerjaan, pembangunan sumber manusia dan latihan, serta isu agama. Maka
dengan hasrat itulah Kerajaan negeri Selangor telah memperkenalkan program
Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES yang pada prinsipnya setiap rakyat di
negeri Selangor adalah pemilik kepada sumber dan hasil kekayaan di negeri ini
dan mereka mempunyai hak ke atas sumber tersebut untuk digembleng
bersama. Penumpuan program MES ini adalah untuk menjaga kebajikan,
kesamarataan, kekayaan serta kesejahteraan setiap penduduk di negeri
Selangor ini. Maka dengan itu, sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan
kerajaan negeri, Pakatan Rakyat telah melancarkan program-program seperti
Bekalan Air Percuma bagi 20 meter padu, Program Peningkatan hasil Batuan
dan Mineral, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Tabung Pendidikan AnakAnak Pekerja Ladang. Selain itu, atas dasar memberi nilai tambah kepada negeri
Selangor pada masa sekarang dan akan datang, Pakej Rangsangan Ekonomi
telah diperkenalkan pada tahun 2008 yang menekankan projek-projek yang
dapat memberi pulangan pendapatan tinggi negeri. Antara projek-projek yang
sedang dijalankan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut adalah projek
pemulihan dan pembangunan Sungai Klang, Penstrukturan semula air, Projek
Pembaharuan Bandar, Pembangunan Semula projek-projek Terbengkalai dan
Penambahbaikan Sistem Pengangkutan Awam di Lembah Klang ini.