Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
92) RANCANGAN MALAYSIA KE 10
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah RMK Ke 10 memberi faedah kepada rakyat Selangor?
Rancangan Malaysia ke-Sepuluh (RMKe-10) yang dibentangkan baru-baru ini adalah
satu pelan yang kritikal dalam pembentukan agenda Kebangsaan. Negeri Selangor
mahukan RMKe-10 ini menjadi satu pelan pembangunan yang adil dan saksama
tanpa mengira kepentingan individu atau pihak tertentu supaya faedah dan hasilnya
dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia dan khususnya rakyat negeri
Selangor. Oleh demikian, Kerajaan negeri Selangor juga mengharapkan Rancangan
ini tidak menjadi seperti rancangan-rancangan terdahulu yang tidak telus dari segi
pelaksanaannya dan akhirnya tidak mendatangkan apa-apa hasil dan merugikan
rakyat Malaysia. -
Adakah sebarang pengabaian RMK Ke 10 terhadap Selangor?
Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara di mana negeri ini
telah menyumbang 25 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia
setiap tahun. Dari segi sumbangan modal, Selangor juga adalah penyumbang
tertinggi nisbah output tokokan modal (incremental capital output ratio) untuk
kekayaan pelaburan dan pertumbuhan negara. Jelas di sini negeri Selangor
memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat besar untuk pertumbuhan
negara yang merangkumi pelbagai sektor dan aktiviti ekonomi. Tetapi malangnya,
negeri Selangor didapati tidak diberi fokus dan tumpuan dengan telus kerana
Kerajaan Persekutuan lebih gemar mempolitikkan urus tadbir ekonominya dengan
mengabaikan kepentingan dan peranan Selangor. Seharusnya, dengan sumbangan
yang begitu besar kepada pembangunan negara, penumpuan dan sokongan
terhadap pelaksanaan projek-projek pembangunan untuk memajukan negeri
Selangor harus dibuat Kerajaan Persekutuan. Dan jika tidak, harapan dan impian
untuk melihat Malaysia mengalami pertumbuhan KDNK sekata sebanyak 6 peratus
sepanjang RMke-10 dan seterusnya menjadi Negara Maju 2020 adalah amat sukar
dan tidak mungkin dicapai. -
Apakah tujuan RMK 10 merujuk kepada `Greater KL` , tetapi tidak kepada `Lembah Kelang` ?
Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh menerangkan bagaimana Kerajaan Persekutuan
ingin membangunkan Kuala Lumpur dengan tema “Greater KL” melalui pelbagai
pelan pembangunan yang bakal dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan
tersebut. Dihuraikan juga definisi “KL” yang termasuk Petaling Jaya, Subang,
Ampang Jaya dan Shah Alam. Mengambil kira kesemua kawasan-kawasan tersebut
terletak di negeri Selangor, definisi “Greater KL” ini adalah sangat tidak realistik dan
sepatutnya diganti dengan nama Selangor atau Lembah Klang. Seperti mana yang
kita tahu, kawasan Lembah Klang yang merupakan pusat penumpuan ekonomi,
pembangunan infrastruktur serta pelancongan Malaysia adalah terletak
sebahagiannya di negeri Selangor. Oleh itu, amat malang sekali bagi Kerajaan
Persekutuan yang memilih jalan yang salah dengan mengabaikan negeri Selangor
kerana perancangan pembangunan tersebut sebahagian besarnya adalah terletak di
negeri Selangor.