Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

19) RANCANGAN MALAYSIA KE 10

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) akan berakhir pada tahun 2010 dan kerajaan Persekutuan telah membentangkan Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) di Parlimen baru-baru ini. Adakah kerajaan negeri telah membuat kajian pencapaian RMK 9 bagi Negeri Selangor ?

    Dalam RMKe-9 Negeri Selangor, peruntukan pembangunan yang disediakan oleh
    Kerajaan negeri adalah berjumlah RM3.42 bilion. Ianya merupakan rancangan dan
    peruntukan untuk tujuan pembangunan bagi tempoh 2006 hingga 2010. Dalam
    tempoh tersebut sebanyak 76.2 peratus telah pun dibelanjakan iaitu berjumlah
    RM2.61 bilion. Program-program pembangunan yang telah dilaksanakan adalah
    meliputi program-program Mesra Rakyat, Pembangunan Ekonomi, Usahawan,
    Latihan, Pembangunan Insan, Pusat Latihan, Pembangunan Kampung, dan
    Pelancongan. Sejak Mac 2008, kerajaan Negeri Selangor telah menumpukan
    program dan projek yang berlandaskan polisi Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor
    di mana kekayaan dan hasil mahsul negeri akan dikembalikan untuk kesejahteraan
    seluruh rakyat negeri Selangor ini. Maka itulah, pada tahun 2009 peruntukan
    pembangunan negeri adalah sebanyak RM787 juta manakala bagi tahun 2010
    peruntukan pembangunan yang disediakan adalah sebanyak RM590.4 juta.

  2. Adakah kerajaan negeri akan mempunyai perancangan sendiri untuk membangunkan kawasan luar bandar ?

    Walaupun 90 peratus kawasan di negeri Selangor adalah dikategorikan sebagai
    kawasan perbandaran, namun kerajaan Negeri Selangor tidak pernah terlintas untuk
    mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan seluruh penduduk yang tinggal di
    kawasan luar bandar. Oleh itu, peruntukan yang disediakan untuk tujuan
    pembangunan luar bandar pada tahun 2008 sebanyak RM7.5 juta, manakala bagi
    tahun 2009 ialah sebanyak RM9.076 juta dan tahun 2010 pula meningkat kepada
    RM10.8 juta. Peruntukan ini adalah bagi membangunkan projek-projek seperti
    kemudahan asas desa, aktiviti pembangunan kampung, pembangunan kampung
    baru, penyelenggaraan jalan kampung dan kemudahan asas sawah sempadan.

  3. Apakah nilai tambah dalam menjayakan prospek RMK-10 bagi Negeri Selangor ?

    RMKe-9 bagi Negeri Selangor yang dirancang terdahulu telah dinilai semula dengan
    menjadikan Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Selangor 2025 sebagai
    panduan utama pembangunan Negeri Selangor yang akan datang. RMKe-10 Negeri
    Selangor akan mengambil kira aspek pembangunan ekonomi, pembasmian
    kemiskinan, pendidikan, pembangunan berterusan, ketelusan,
    kebertanggungjawaban dan tindakan integriti, isu gender, inisiatif belia, peluang
    pekerjaan, pembangunan sumber manusia dan latihan, serta isu agama. Maka
    dengan hasrat itulah Kerajaan negeri Selangor telah memperkenalkan program
    Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES yang pada prinsipnya setiap rakyat di
    negeri Selangor adalah pemilik kepada sumber dan hasil kekayaan di negeri ini dan
    mereka mempunyai hak ke atas sumber tersebut untuk digembleng bersama.
    Penumpuan program MES ini adalah untuk menjaga kebajikan, kesamarataan,
    kekayaan serta kesejahteraan setiap penduduk di negeri Selangor ini. Maka dengan
    itu, sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, Pakatan Rakyat
    telah melancarkan program-program seperti Bekalan Air Percuma bagi 20 meter
    padu, Program Peningkatan hasil Batuan dan Mineral, Skim Mesra Usia Emas
    (SMUE) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang. Selain itu, atas dasar
    memberi nilai tambah kepada negeri Selangor pada masa sekarang dan akan
    datang, Pakej Rangsangan Ekonomi telah diperkenalkan pada tahun 2008 yang
    menekankan projek-projek yang dapat memberi pulangan pendapatan tinggi negeri.
    Antara projek-projek yang sedang dijalankan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi
    tersebut adalah projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang, Penstrukturan
    semula air, Projek Pembaharuan Bandar, Pembangunan Semula projek-projek
    Terbengkalai dan Penambahbaikan Sistem Pengangkutan Awam di Lembah Klang
    ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.