Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

21) RANCANGAN KAWASAN KHAS (RKK)

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status RKK di kawasan-kawasan yang telah diwartakan di seluruh Selangor?

    Ahli-ahli Yang Berhormat, Rancangan Kawasan Khas (RKK) merupakan suatu rancangan pemajuan yang disediakan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus kepada Pihak Berkuasa Tempatan dalam masa yang singkat untuk tujuan perlaksanaan iaitu bagi tujuan sama ada untuk memaju, memajukan semula, memperelokkan lagi atau memelihara atau bagi tujuan pengurusan sebagaimana di bawah peruntukkan seksyen 16B, Akta 172. Sehingga kini terdapat 6 buah RKK yang telah diwartakan seperti:

     

    i)         Rancangan Kawasan Khas Bestari Jaya (2004-2020)

    Rancangan Kawasan Khas ini disediakan bagi memberi tumpuan kepada kawasan pembangunan sekitar dan menaik taraf sektor pendidikan terutama institusi pengajian tinggi selaras wawasan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Bestari Jaya sebagai Bandar Ilmu Negeri Selangor

     

    ii)        Rancangan Kawasan Khas Bandar Pelabuhan Klang 2015

    Bertujuan menghasilkan susun atur perancangan yang lengkap sebagai panduan pembangunan untuk meningkatkan imej dan karektor Bandar Pelabuhan Klang sebagai Bandar Perkhidmatan Pelabuhan dan sebagai pintu masuk utama ke Selangor.

     

    iii)       Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Kubu Bharu 2015

    Perancangan pembangunan Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Bandar Dalam Taman Menjelang 2015 yang mempunyai sumber-sumber alam semulajadi dan binaan yang mempunyai kepentingan alam sekitar, warisan dan keindahan.

     

     

    iv)      Rancangan Kawasan Khas Seksyen 13, Petaling Jaya

    Pembangunan Seksyen 13 bertujuan untuk memperbaiki persekitaran fizikal yang dahulunya adalah kawasan perindustrian serta menjadikan Seksyen 13 sebagai hub perdagangan yang dikenali sebagai ‘Taman Perdagangan’.

     

    v)          Rancangan Kawasan Khas Kampung Sungai Pusu 2020

    Bertujuan untuk merancang serta mengawal aktiviti pembangunan guna tanah dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar ke arah mewujudkan komuniti sejahtera serta persekitaran yang mampan. Kajian ini akan membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengawal pembangunan di kawasan tersebut supaya lebih teratur dan mematuhi segala garis panduan perancangan khusus bagi kawasan tersebut.

     

    1. Rancangan Kawasan Khas Kawasan Perindustrian Sungai Choh 2020 Penyediaan kajian ini bertujuan untuk menjadikan kawasan perindustrian Sungai Choh sebagai ‘Hab Industri Jaluran Pembangunan Automotif’ dengan industri sokongan dan kluster industri lain bersesuaian berteknologi tinggi dan
  2. Adakah terdapat kawasan baru, termasuk kawasan Kampung Tradisi yang telah dirancangkan untuk wartakan di bawah RKK dan butir-butir kawasan tersebut?

    Ahli-ahli Yang Berhormat, sehingga kini terdapat satu RKK yang dirancang yang melibatkan Kampung Tradisi iaitu Draf RKK Sungai Ramal Dalam, Kajang 2020. Kajian RKK Kampung Sungai Ramal Dalam melibatkan kawasan seluas 282.8 hektar. Kajian RKK ini merupakan kawasan rizab Melayu yang dikelilingi oleh pembangunan pesat Bandar Baru Bangi (selatan), Kajang (timur), penempatan elit Country Height dan pusat pentadbiran Putrajaya (barat). Kawasan ini juga terletak di dalam kawasan ‘Greater Kuala Lumpur’ yang bakal berubah wajah daripada imej kampung ke penempatan lengkap dengan kemudahan berkualiti dan serasi dengan pembangunan di sekitarnya. Justifikasi penyediaan RKK Sungai Ramal Dalam, Kajang 2020;

     

    1. Setaraf dengan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya yang berpotensi untuk dibangunkan dan kawasan yang mempunyai isu serta halangan memerlukan perancangan dan panduan yang lebih teliti;
    2. Kawasan RKK merupakan Tanah Rizab Melayu (TRM) Kategori 1 yang kebanyakan lot tanahnya bersaiz kecil. Oleh yang demikian, pembangunan yang dijalankan juga berskala kecil dan tidak dapat menyediakan beberapa kemudahan masyarakat yang diperlukan oleh keseluruhan kawasan. Perancangan yang komprehensif diperlukan bagi mengenal pasti penyediaan kemudahan-kemudahan masyarakat untuk dikongsi bersama serta memenuhi peruntukan-peruntukan perancangan yang berkaitan; dan
    3. Aktiviti guna tanah yang bercampur terutamanya aktiviti industri dan bengkel sering menimbulkan konflik kepada penduduk serta alam sekitar. Kawalan ke atas aktiviti yang menimbulkan konflik ini perlu

     

    Sehingga kini, Kajian RKK ini telah dipublisiti dan seranta bermula dari 15hb Februari 2014 hingga 15hb Mac 2014 dan seterusnya proses Mesyuarat Jawatankuasa Pendengaran dan Siasatan akan dijalankan.

     

  3. Apakah kelebihan dan manfaat yang boleh diharapkan dan direalisasikan dengan pelaksanaan RKK?

    Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat maklum, penyediaan RKK adalah merupakan instrumen atau planning tools dengan izin, untuk menyusun dan menambah baik dan menjadi panduan perancangan bagi kawasan yang dikenal pasti untuk tindakan segera. Di dalam menyediakan RKK ini pelbagai aspek dikaji secara bersepadu dengan mengambil kira pemilik terlibat, kaedah perlaksanaan, kewangan terlibat, projek penambahbaikan sedia ada atau projek baru, halangan-halangan, kesan dan agensi pelaksana yang diterjemahkan secara terperinci. Sekiranya, RKK ini dapat dirangka dan dilaksanakan sebagaimana cadangan, semua pihak terlibat akan mendapat manfaatnya dan menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kualiti hidup juga dapat ditingkatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.