Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
171) RAKYAT YANG TIDAK MEMILIKI SIJIL KELAHIRAN & MYKAD
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah rakyat di Negeri Selangor yang tidak memiliki Sijil Kelahiran dan juga Mykad mengikut komposisi kaum?
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya menyimpan maklumat bagi individu yang mendaftar dengan JPN sahaja. Daftar-daftar yang tersimpan di JPN merupakan rekod yang dikumpul berasaskan undang-undang semasa yang berkuat kuasa dan ditadbir oleh JPN.
Sehubungan dengan itu, JPN hanya menyimpan rekod jumlah rakyat di Negeri Selangor yang mempunyai Sijil Kelahiran sahaja. Berdasarkan kepada rekod pangkalan data JPN sehingga 31 Mei 2012, warganegara yang berumur 12 hingga 20 tahun yang tidak mempunyai Kad Pengenalan adalah seramai 30,003 orang dan yang berumur 21 tahun ke atas adalah seramai 31,183 orang.
-
Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi masalah rakyat yang tidak memiliki Sijil Kelahiran ataupun Mykad mereka?
Antara usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam mengatasi masalah segelintir rakyat yang begitu sukar untuk memperolehi dokumen pendaftaran seperti MyKad dan Sijil Kelahiran adalah dengan melaksanakan Program MyDaftar yang dijalankan di seluruh negara termasuk Negeri Selangor meliputi kawasan bandar dan luar bandar.
Program MyDaftar merupakan program outreach berasaskan konsep turun padang untuk memberi perkhidmatan kepada golongan yang sukar berurusan di pejabat-pejabat JPN khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil.