Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
262) RAKYAT BERPENDAPATAN TINGGI
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah perancangan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri untuk melahirkan rakyat berpendapatan tinggi selaras dengan aspirasi Persekutuan?
Karya ahli ekonomi Perancis, Thomas Piketty bertajuk ‘Capital in the Twenty- First Century’ telah mengkaji tentang bagaimana herotnya tumpuan kekayaan di negara-negara yang dilabelkan sebagai negara maju seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea. Keherotan kekayaan ini juga tidak terkecuali berlaku di Malaysia. Kenyataan bahawa 20% penduduk menguasai 80% kekayaan negara adalah sukar untuk dinafikan. Oleh kerana itu, wujud keperluan untuk membina ekonomi yang lebih seimbang dengan pekerjaan lebih berkualiti dan pertumbuhan yang lebih sekata dalam semua sektor. Isu kemaslahatan rakyat seperti meningkatkan pendapatan, pembasmian kemiskinan, mengurangkan jurang ekonomi antara golongan kaya dengan miskin, membina perumahan mampu milik serta menangani bencana alam sekitar harus menjadi teras pembangunan.
Ahli falsafah dan ekonomi dari India, Amartya Sen juga telah menegaskan bahawa pembangunan adalah capability expansion yang bermaksud pengembangan kebolehan rakyat dari segi pengeluaran, penciptaan dan produktiviti. Rakyat yang berkembang kebolehannya akan menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang produktif, pengeluar barangan dan perkhidmatan bermutu termasuk produk intelektual dan kebudayaan sekaligus meningkatkan pendapatan dan status ekonomi rakyat.
Negeri Selangor perlu mengekalkan peranannya sebagai penyumbang terbesar KDNK kepada Malaysia. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor perlu memastikan ia mampu untuk terus mendahului dengan langkah yang mampu dilaksana dengan perancangan inovatif dan terkehadapan. Pembangunan negeri Selangor yang pesat mengundang penghijrahan dari luar, ditambah dengan pertambahan penduduk secara semulajadi menuntut perumahan rakyat dan rumah mampu milik dijadikan keutamaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta membangunkan masyarakat yang kohesif dengan penempatan dan persekitaran yang baik. Keperluan pengangkutan awam juga akan meningkat dan akan dilihat secara bersepadu antara Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
-
Apakah pandangan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri terhadap wawasan Kerajaan Persekutuan tersebut?
Definisi sebuah negara maju tidak boleh hanya diukur berdasarkan corak pendapatan sahaja. Walaupun sesebuah negara itu telah mencapai negara berpendapatan tinggi, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar kemajuan pembangunan sesebuah negara dan kesejahteraan rakyat. Thomas Piketty, melalui karya beliau bertajuk ‘Capital in the Twenty-First Century’ menyatakan, kajian pendapatan dan kesaksamaan kekayaan di lebih 20 buah negara termasuk negara berpendapatan tinggi menunjukkan bahawa, wujudnya ketidaksamaan pendapatan negara-negara maju di dunia. Beliau juga menyatakan, terdapat tiga (3) corak ekonomi yang berlaku dalam tempoh 15 tahun kepada negara berpendapatan tinggi, iaitu pewujudan penguasaan ekonomi secara tidak adil (wealth-based society), kewujudan jurang pendapatan antara kaya dan miskin yang tinggi berikutan penguasaan ekonomi yang tidak sama rata dan ketidaksamaan pembahagian pendapatan negara di Amerika Syarikat yang mana ia juga merupakan contoh kesan dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh negara berpendapatan tinggi. Kajian tersebut turut menyatakan ketidaksamaan struktur ekonomi Amerika dan Eropah yang berbeza. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mengalami ketidaksamaan jumlah pendapatan (labour cost) yang ketara manakala Eropah mengalami ketidaksamaan perkongsian kekayaan negara yang lebih tinggi. Ketidaksamaan tersebut memberi kesan yang buruk kepada masyarakat secara keseluruhan. Ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan menyebabkan kemudahan infrastruktur dan pendidikan tidak dapat dinikmati sama rata oleh rakyat. Kesan tersebut akan turut mempengaruhi struktur sosial negara dalam jangka masa panjang sekiranya tidak ditangani seperti yang berlaku kepada negara-negara maju tersebut.
Kajian bersama antara Universiti Malaya dan Institut Penyelidikan Khazanah mendapati bahawa jurang pendapatan dan pemilikan rumah adalah semakin tinggi. Ini berdasarkan nilai harta yang dibeli pembeli atasan berkembang lebih cepat berbanding nilai harta yang dibeli golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan kestabilan ekonomi terlebih dahulu melalui perkongsian kekayaan sama rata berdasarkan konsep Ekonomi Peduli Rakyat. Antara yang perlu diberi perhatian ialah pewujudan modal insan yang menyeluruh berintensif pengetahuan bagi menerajui inovasi ke arah keutuhan pertumbuhan ekonomi. Negeri Selangor akan mengoptimumkan keupayaan modal insan bagi meningkatkan produktiviti secara maksimum. Strategi tersebut akan dilaksanakan bagi merapatkan kesenjangan ekonomi rakyat kaya dan miskin di negeri Selangor. Status sebuah negara berpendapatan tinggi tidak ada apa-apa erti sekiranya masih terdapat jurang yang besar antara kaya dan miskin serta bandar dan kampung yang membawa ketidakupayaan rakyat untuk menikmati kemudahan asas, pendidikan dan rumah secara adil.