Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

60) RAKAN DIGITAL SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Cadangan ini merupakan cadangan yang bagus tetapi ianya belum dapat dilaksana secara sepenuhnya pada tahun 2021. Adakah kerajaan bercadang untuk mengekalkan program ini pada tahun 2022 dengan peruntukan tambahan dan dijadikan sebagai program berstruktur di bawah PeBS?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Inisiatif Rakan Digital Selangor (RDS) telah melantik Duta Rakan Digital Selangor untuk membantu perniagaan mikro (penjaja dan peruncit) mendaftarkan perniagaan mereka ke dalam Platform Selangor (PLATS). Untuk makluman, PLATS ialah sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan untuk menggerakkan ekonomi penjaja dan peruncit Selangor.

    Melalui program ini, Duta RDS akan turut membantu kumpulan sasaran menggunakan platform sosial media untuk meningkatkan pendedahan dan pendapatan dengan mendapatkan pelanggan baru. Program ini telah dilancarkan ke pelbagai lokasi di seluruh Selangor untuk memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

    Program Rakan Digital Selangor (RDS) telah melantik seramai 1,000 orang anak muda yang turut sama menggembleng tenaga untuk turun ke lapangan bagi membimbing dan memimpin golongan sasaran agar tidak ketinggalan di arus pemodenan dan era digitalisasi bagi menghadapi generasi digital.

    Sehingga November 2021, RDS telah mendekati seramai 7,258 peniaga kecil dan mereka telah dibimbing untuk menggunakan kaedah digitalisasi dalam menjalankan perniagaan. Duta Rakan Digital Selangor juga telah berjaya mengenalpasti sejumlah 20,919 golongan sasaran yang berpotensi untuk didaftarkan.

    Bagi tahun 2021, jumlah perbelanjaan bagi program ini adalah sebanyak RM3,000,000.00. Program Rakan Digital yang telah dirangka sebelum ini akan diteruskan pada tahun 2022 dan dipergiatkan lagi oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi membantu golongan sasar iaitu penjaja / peniaga / perusahaan kecil dan sederhana mikro untuk mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan mereka.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda menyambut baik cadangan ini dan akan melihat kesesuaian pelaksanaan program ini di bawah program Penggerak Belia Selangor (PeBS) dengan mewujudkan kerjasama di antara PNSB dan Exco Teknologi Maklumat dan Komunikasi, PeBS yang akan memfokuskan kumpulan generasi muda.

Lampiran

Tiada Lampiran.