Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

165) PWB (PUSAT WANITA BERDAYA)

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah masalah sebenar yang dihadapi hingga pelantikan masih tertangguh

    Pusat Komuniti Wanita (PKW) yang diwujudkan sejak tahun 2009 di lapan (8) DUN sebagai pilot program di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, ia telah ditukar kepada nama yang baru dengan panggilan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

    Bagi memastikan kelancaran PWB di peringkat DUN, mantan YB Exco ketika itu, berpandangan perlunya seorang penyelia di setiap DUN yang berperanan sebagai urus setia bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Mulai Jun 2012 hingga Mac 2013 untuk penyelia ini telah diberi sagu hati oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) menggunakan peruntukan Geran Selangorku. Namun mulai Januari 2014 hingga kini, penyelia ini tidak diberikan sebarang sagu hati dan perkara ini dibangkitkan oleh para penyelia tentang bayaran elaun dan status perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri.

    Sehubungan itu, satu kertas cadangan berhubung PWB Selangor telah dikemukakan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 13/2014 melalui kertas MMK. No. 43/13/2014. Namun demikian terdapat beberapa pindaan penambahbaikan ke atas kertas tersebut.

    Kertas penambahbaikan tersebut dikemukakan semula di dalam MMKN ke 46/2014 bertarikh 28 November 2014 untuk kelulusan.

    Setelah keputusan diperolehi melalui Cabutan Keputusan Kertas MMKN bertarikh 28 November 2014 dan telah disahkan oleh MMKN ke 47/2014 pada 10 Disember 2014 maka bermula proses pelantikan Penyelia PWB secara rasmi.

    Surat makluman telah dihantar ke semua pejabat ADUN untuk mengemukakan senarai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

    Sesi temuduga telah dijalankan sebanyak lima (5) sesi bermula pada 27 Januari 2015 sehingga 30 Januari 2015. Satu sesi temuduga bertarikh 23 Februari 2015 turut diadakan berikutan terdapat beberapa ADUN yang lewat mengemukakan calon untuk ditemuduga. Seramai 100 orang calon telah hadir ke sesi temudga tersebut.

    Para penemuduga adalah terdiri daripada :-

    • Seorang wakil dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) SUK Selangor;
    • Seorang wakil dari Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor; dan
    • Seorang wakil dari Pejabat YB EXCO

    Senarai 56 orang calon yang berjaya telah diangkat melalui kertas makluman ke MMKN pada 18 Mac 2015. Surat lantikan akan dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri setelah keputusan rasmi kertas makluman berkenaan diperolehi.

  2. Kenapa perlu ditemuduga untuk melantik hanya seorang penyelia atau penyelaras

    Temuduga merupakan salah satu syarat penting dalam proses lantikan sesuatu jawatan. Ini bertujuan agar calon-calon yang dicadangkan berkelayakan selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan adalah berpandukan tatacara lantikan oleh Kerajaan Negeri.

  3. Kenapa tidak lantikan hanya dibuat oleh ADN untuk mengelak banyak birokrasi

    Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) SUK Selangor adalah bertanggungjawab dalam melaksanakan sebarang urusan pelantikan kakitangan awam Kerajaan Negeri termasuklah lantikan Penyelia PWB. Manakala elaun adalah disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada para Penyelia PWB yang dilantik Oleh yang demikian, adalah jelas urusan pelantikan adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.