Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

49) PWB

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana pihak kerajaan memastikan bahawa program tersebut di manafaat oleh rakyat ?

    Setiap tahun, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM 3 juta kepada Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi melaksanakan program di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

     

    Bagi memastikan program-program yang dirancang oleh penyelia PWB DUN dapat dimanfaatkan oleh rakyat, program yang dijalankan adalah bersifat untuk pemerkasaan golongan wanita dalam komuniti dan juga berkaitan permasalahan semasa yang timbul dalam masyarakat setempat. Selain itu, PWB juga mempunyai modul khusus yang perlu dijadikan panduan oleh para penyelia PWB dalam merangka program. Modul-modul tersebut telah disusun dan dibahagikan kepada Modul Program Pembangunan Kapasiti dan Modul Program Kemahiran.

     

    Semua program yang dianjurkan oleh Penyelia PWB akan dibuka penyertaan kepada masyarakat setempat dan diakhir program para peserta akan diminta untuk mengisi Borang Penilaian Program dengan memberikan maklum balas kepada isi kandungan program dan juga aspek teknikal perjalanan program.

     

    Selain itu, PWB juga terlibat dalam program Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel), Program Tanjung Suri dan Projek Dapur Selangor yang menjana pendapatan peserta selari dengan objektif Penubuhan PWB iaitu meningkatkan status ekonomi golongan Wanita di luar bandar terutama B40.

  2. Bagaimana pihak kerajaan menilai penyelia-penyelia program tersebut ?

    Merujuk Buku Panduan Perkhidmatan PWB, sepanjang dua (2) tahun tempoh perlantikan Penyelia PWB, semua penyelia PWB adalah tertakluk untuk menjalani tempoh percubaan selama enam bulan daripada tarikh pelantikan. Sepanjang tempoh tersebut, prestasi penyelia akan dinilai oleh Pengurusan WBS berdasarkan Borang Penilaian Prestasi Penyelia PWB bagi setiap tempoh enam (6) bulan. Dalam borang berkenaan, penyelia PWB akan dinilai pemarkahannya berdasarkan tiga (3) aspek iaitu, Prestasi Program, Prestasi Kerja dan Kepimpinan.

     

    Sekiranya keputusan penilaian prestasi penyelia dalam tempoh percubaan adalah baik, tempoh perkhidmatan Penyelia PWB akan diteruskan sehingga cukup tempoh dua (2) tahun perkhidmatan bermula dari tarikh lantikan. Sekiranya prestasi penyelia kurang memuaskan, Jawatankuasa Prestasi PWB yang diketuai oleh YB Lee Kee Hiong, yang merupakan ADUN Kuala Kubu Baru merangkap Ahli Lembaga Pengarah WBS melalui WBS akan memanggil penyelia PWB dan YB ADUN atau Penyelaras DUN yang terbabit bagi menghadiri sesi pendengaran khas. Sebagai makluman, penubuhan Jawatankuasa Prestasi PWB adalah diluluskan oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah WBS Bilangan 1 Tahun 2022.

  3. Apakah tindakan kerajaan yang wajar di lakukan untuk memastikan bahawa penyelia yang sesuai sahaja memegang jawatan tersebut ?

    Menurut takrifan PWB dalam Buku Panduan Perkhidmatan Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (PWB), Penyelia PWB adalah seorang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi memimpin dan mengetuai PWB di bawah seliaan jajahan Dewan Undangan Negeri.

     

    Bagi memastikan Penyelia PWB yang dilantik oleh Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada indvidu yang berkelayakan, WBS telah menggariskan Syarat-syarat dan Kriteria Pelantikan Penyelia PWB di dalam Buku Panduan Perkhidmatan Penyelia PWB seperti berikut:

     

    SYARAT-SYARAT:

     

    1. Warganegara Malaysia,
    2. Merupakan anak kelahiran Negeri Selangor atau Menetap di dalam Kawasan pentadbirannya dan telah bermastautin sekurang-kurangnya lima (5) tahun sebelum pelantikan;
    3. Merupakan pengundi yang berdaftar di DUN berkenaan;
    4. Berumur diantara 21 hingga 55 Tahun.
    5. Sekurang-kurangnya lulusan SPM atau sijil setaraf dengannya.
    6. Tidak Muflis
    7. Bebas dari sabitan kesalahan jenayah
    8. Disahkan sihat mental, dan fizikal oleh Pegawai Perubatan berdaftar.
    9. Bebas daripada penyalahgunaan dadah
    10. Bukan kakitangan kerajaan / Pejabat AMMKN / Pusat Khidmat Masyarakat;

     

    *Sebarang pengecualian daripada syarat diatas tertakluk persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

     

     

    KRITERIA PERLANTIKAN;

     

    1. Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua (2) tahun dalam aktiviti kemasyarakatan, dan kerja-kerja sosial.
    2. Mempunyai kemahiran menggunakan Microsoft Word dan Microsoft Excel.
    3. Aliran pemikiran dan daya kepimpinan dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pemimpin tempatan.
    4. Mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan berwibawa.

     

    Selain itu, calon-calon penyelia PWB yang memenuhi semua syarat dan kriteria perlantikan akan dicadangkan oleh YB ADUN atau Penyelaras DUN sebelum menjalani proses temuduga. Bagi memastikan kelancaran proses temuduga, semua calon perlu melengkapkan Borang Permohonan Penjawatan Penyelia PWB DUN yang merangkumi maklumat Peribadi, Pekerjaan, Pendidikan, Kesihatan, Pengalaman Kegiatan dan Pengakuan bagi Pengisytiharan Muflis, Rekod Jenayah, Penyalahgunaan Dadah serta Tahap Kesihatan Mental dan Fizikal. Seterusnya berdasarkan keputusan temuduga tersebut, kebiasaannya WBS akan memberikan sokongan kepada calon yang memiliki markah yang tertinggi dan akan dimaklumkan kepada YB ADUN atau Penyelaras DUN yang terbabit. Namun, keputusan akhir pemilihan penyelia tersebut adalah diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.