Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
135) PUSAT WANITA BERDAYA – PWB
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan dasar dan halatuju PWB tahun 2015-2020?
Pusat Wanita Berdaya merupakan satu platform bagi mendidik dan memberdaya (empower) wanita dengan ilmu, kemahiran dan latihan yang diperlukan bagi melahirkan golongan wanita yang berkepimpinan, berketerampilan dan berdaya saing agar menjadi contoh tauladan kepada masyarakat setempat serta mampu menjadi pemimpin di peringkat masing- masing.
Pusat Wanita Berdaya akan melibatkan penyertaan beberapa kumpulan wanita seperti wanita muda, ibu tunggal, surirumah, wanita desa serta kaum wanita yang lain.
Oleh yang demikian, Pusat Wanita Berdaya mensasarkan beberapa usaha ke arah pemberdayaan wanita di Negeri Selangor :-
- Memberi ilmu, latihan dan kemahiran yang berkaitan mengikut fokus tahunan PWB;
- Meningkatkan taraf ekonomi wanita melalui aktiviti dan kemahiran keusahawanan;
- Melahirkan pemimpin wanita yang berdaya dan berketerampilan dan masyarakat diperingkat masing-masing;
- Memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat berkenaan kesamarataan gender; dan
- Melahirkan pelatih-pelatih berkemahiran dalam isu-isu yang dikenal
-
Apakah peranan dan program yang bakal dilakukan oleh PWB dalam membimbing ibu-ibu tunggal yang telah mendaftar mengikut setiap DUN?
Peranan dan program yang bakal dilakukan oleh PWB menjurus kepada memberi latihan dan bimbingan serta disokong oleh aktivitis dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing, agar dapat membawa PWB kearah kejayaan dengan melahirkan barisan Training of Trainer (T.O.T). bagi tahun ini, tiga (3) modul utama yang telah dikenal pasti adalah Kepimpinan, Gender, Kesihatan dan Keselamatan. Modul-modul latihan yang telah dikenal pasti ini adalah bagi melatih golongan wanita termasuk Ibu Tunggal.
Bagi Para Penyelia PWB yang telah dilantik bagi menerajui PWB di setiap 56 DUN ini, Kerajaan Negeri telah merancang untuk menganjurkan Kursus Asas Penyelia PWB dalam masa terdekat. Antara objektif Program Kursus Asas Penyelia PWB ini adalah bertujuan :
- Memberi pendedahan dan kefahaman terhadap peranan, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai penyelia PWB ;
- Memberi penerangan berkaitan bidang tugas dan tatacara untuk melaksanakan sesebuah program di bawah kendalian mereka;
- Memberi kefahaman status perkhidmatan yang disandang oleh mereka sebagai Penyelia PWB;
- Sesi suaikenal antara penyelia-penyelia PWB dan pegawai di Pejabat- Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Penyerahan watikah pelantikan secara rasmi oleh Y.B.
-
Sila nyatakan rancangan khusus yang telah di sediakan untuk memberdayakan Penyelia PWB tahun ini?
Sama seperti di SUB (b)