Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
195) PUSAT WANITA BERDAYA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan berniat menyusun semula struktur organisasi Pusat Wanita Berdaya supaya ia lebih berkesan untuk memperkasakan wanita setempat?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memperkasa wanita setempat melalui pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Justeru, pengstrukturan semula organisasi Pusat Wanita Berdaya (PWB) harus diberikan penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya supaya PWB dapat berperanan dengan lebih efektif, strategik dan efisyen. Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang telah diberikan mandat untuk menguruskan PWB sejak penubuhannya sedang meneliti dan dalam peringkat mengemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan agar usaha pemerkasaan PWB direalisasikan dengan mengambilkira implikasi kewangan yang terlibat dan isu pertambahan penjawatan yang perlu diwujudkan serta diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Pada tahun lalu, satu kajian khusus berkaitan PWB yang dinamakan sebagai Kajian Sedekad Pencapaian PWB Selangor telah dijalankan oleh pihak konsultan penyelidik Ilham Centre yang telah dilantik oleh WBS. Antara objektif kajian ini adalah untuk menilai impak program-program PWB dan sejauh mana keberkesanannya, menilai keterlihatan atau ‘visibility’ PWB di 56 DUN dan mendapatkan cadangan penambahbaikan bagi program PWB. Berikut merupakan antara rumusan penting berkaitan impak dan juga cadangan penambahbaikan yang diperolehi berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan meliputi empat aspek berikut:
- Impak Program dan Aktiviti Pusat Wanita Berdaya (PWB)
Seperti yang ditemui dalam kajian ini, program kemahiran lebih mendapat sambutan berbanding program pembangunan kapasiti. Maka, satu sesi brainstorm dan bengkel untuk meninjau semula modul-modul PWB perlu dilakukan. Satu modul yang lebih berkesan dan bersifat integrasi antara program-program perlu dirangka bagi menjamin kualiti serta mencapai mencapai objektif penubuhan PWB.
2. Impak Kepimpinan Wanita di PWB
Cadangan yang telah diutarakan di dalam rumusan kajian ini untuk Kerajaan Negeri lebih serius menginstitusikan PWB sebagai salah satu entiti utama untuk memberdaya wanita diperingkat akar umbi melalui naik taraf perjawatan jawatan Penyelia PWB sebagai pegawai kerajaan berstatus kontrak. Perhatian segera ditagih dalam menyelesaikan isu terkait punca kuasa, kemudahan prasarana seperti pejabat atau bilik gerakan, bajet peruntukan dan sebagainya.
3. Impak Penghasilan Produk di PWB
Idea hub yang berperanan sebagai tempat ‘one stop centre’ bagi mengumpulkan hasil produktiviti dan kreativiti daripada keseluruhan PWB juga sangat baik untuk diberi perhatian. Semua ini mampu untuk memangkin nama baik Kerajaan Negeri memandangkan barang-barang berkualiti ini diusahakan oleh penduduk tempatan sekaligus membantu menjana ekonomi lokal secara mandiri.
4. Impak Pengurusan Data dan Pentadbiran PWB
Relevannya pengkalan atau bank data maklumat dan “profiling” peserta program/ aktviti PWB perlu diuruskan secara sistematik. Justeru, bagi menambahbaik pengurusan program-program PWB dicadangkan dibangunkan satu sistem pengurusan dataraya program, peserta program dan tenaga pengajar PWB secara digital atau berbentuk aplikasi khusus untuk dimanfaatkan bagi tujuan penyimpanan data yang lebih sistematik. Data-data ini sangat diperlukan untuk sebaran maklumat program dan hebahan insentif dan bantuan di bawah Kerajaan Negeri dan segala maklum balas program yang direkodkan dapat digunapakai bagi mengukur keberkesanan impak secara berkala terhadap program-program yang dijalankan.
-
Apakah usaha lain yang akan dilakukan untuk membangunkan wanita Selangor?
Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program-program khusus untuk wanita sebagai usaha membangunkan wanita Selangor. Antara program-program tersebut adalah Akademik Kepimpinan Wanita (AKW) yang merupakan sebuah program intensif untuk memantapkan kemahiran dan bertindak sebagai ‘paip bakat’ (talent pipeline) untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial dalam usaha menjadi pemimpin.
Matlamat pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan Dasar Wanita Selangor yang ke ke-4 iaitu mempercepat penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita dengan Kemahiran Organisasi, Kesaksamaan Gender, Kepimpinan Politik dan Kemahiran Insaniah. Program rintis ini menyasarkan 30 peratus daripada graduan AKW memegang jawatan kepimpinan khususnya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.
Pendidikan sebagai mobiliti sosial terbukti berkesan seperti yang dihujahkan dalam artikel Bank Dunia yang bertajuk “Why Education Matters for Economic Development” bahawa pendidikan bertindak sebagai pelaburan sepanjang hayat dan strategi meningkatkan diri dengan kemahiran terkini adalah strategi terbaik dalam mendepani cabaran keperluan kemahiran yang semakin pantas berubah seiring kepesatan perkembangan teknologi. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai salah satu inisiatif jangka masa panjang untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia.
Program ini mensasarkan untuk memberikan tajaan penuh pembiayaaan pendidikan kepada Wanita Selangor khususnya di peringkat akar umbi yang bekerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan bagi mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik, Wanita Selangor yang berpendidikan menengah atau dalam tempoh ‘career break’ dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya.
Bagi merealisasikan objektif ke arah 30 peratus perwakilan wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar Kerajaan Negeri melalui WBS telah mengadakan Sidang Wanita Negeri Selangor (SIWANIS). Program ini adalah satu program simulasi Sidang Dewan Negeri Selangor yang mengumpulkan wanita dalam satu platform bagi mengasah serta mencungkil bakat sebagai seorang pemimpin terutamanya di peringkat pembuatan keputusan.
Pengarusperdanaan gender merupakan satu proses pembangunan yang inklusif dengan mengintegrasikan perspektif gender ke dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian semua pelan, dasar, bajet dan program pentadbiran kerajaan. Justeru, Kerajaan Negeri melalui WBS telah melaksanakan program pengarusperdanaan gender yang dapat menjadi pemangkin dan pemacu kepada usaha kerajaan negeri untuk mencapai 30 peratus perwakilan wanita di peringkat pembuatan dasar dan pembuatan keputusan. Ia adalah penting untuk memastikan wanita terlibat secara saksama dalam bidang pilihan mereka dan diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada pembangunan negara dan negeri.
Selain itu, pelaksanaan program pengarusperdanaan gender juga menggambarkan komitmen kerajaan negeri terhadap deklarasi yang telah diraktifikasi negara di peringkat antarabangsa seperti Pelan Bertindak dan Deklarasi Beijing, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Dasar Wanita Negara serta Dasar Wanita Selangor.