Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

78) PUSAT TUISYEN RAKYAT (PTRS)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah pelaksanaan PTRS pada tahun 2024?

    MBI bertindak sebagai penganjur utama dan penaja keseluruhan program bermula pada tahun 2023 dengan kerjasama daripada JPN Selangor serta menyasarkan kesemua 65,000 pelajar SPM daripada 277 buah sekolah menengah di Selangor yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Menengah (SAM), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) dengan had pendapatan sebulan ibu bapa adalah RM5,000.00 dan ke bawah. Satu mata pelajaran baru juga telah diperkenalkan sebagai modul PTRS, iaitu Matematik Tambahan menjadikan kesemua mata pelajaran yang berada di bawah PTRS adalah enam (6) mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

    Pada tahun 2024, penerima manfaat tidak tertumpu untuk pelajar SPM sahaja bahkan akan diperluaskan untuk pelajar Tingkatan 4 dengan anggaran jumlah keseluruhan pelajar SPM dan pelajar Tingkatan 4 di Selangor adalah seramai 130 ribu pelajar. MBI juga bercadang untuk melihat program intervensi bagi murid-murid di sekolah rendah yang mengalami masalah 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) disebabkan oleh gangguan waktu persekolahan ketika era pandemik.

    Selain itu, aplikasi mudah alih PTRS (Mobile Apps) bakal diperkenalkan bagi memastikan capaian bahan PTRS lebih terbuka dan mudah diakses kepada golongan sasaran (pelajar). Satu platfrom yang berorentasikan aplikasi mudah alih akan disediakan melalui peranti mudah alih Android dan IOS.

    Bagi menambah baik portal ePTRS yang sedia ada, video langsung (live video) juga diperkenalkan. Video langsung ini merupakan salah satu pendekatan dalam talian yang mampu melakukan komunikasi dua hala. Ia juga dapat membantu dan memudahkan interaksi secara terus antara tenaga pengajar dan golongan sasaran (pelajar). Portal ini boleh diakses dengan melayari www.eptrs.com.my.

Lampiran

Tiada Lampiran.