Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

1) PUSAT SANTUARI KELIP-KELIP KG KUANTAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat kajian baharu bagi kelangsungan hidup habitat kelip-kelip di Kg Kuantan? Sila huraikan kajian dan dapatan tersebut.

    FRIM merupakan satu agensi yang bertanggungjawab untuk memantau populasi kelip-kelip setiap bulan dengan menggunakan kaedah fotografi malam yang mesra alam di tujuh lokasi merangkumi 1.6 kilometer sepanjang Sungai Selangor antara Tanjung Labak dan Kampung Sepakat di kawasan yang telah diwartakan seluas lebih 1000 hektar di sepanjang Sungai Selangor sebagai zon perlindungan kelip-kelip pada 2009.

    Berikut tindakan ini, di peringkat Majlis Daerah Kuala Selangor bagi memastikan kelangsungan habitat kelip-kelip sentiasa terpelihara adalah dengan menggalakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat daripada pelbagai pihak secara sukarela yang ingin menyumbang tenaga dan masa mereka dalam aktiviti seperti penanaman semula pokok serta pembersihan sungai secara berterusan kerana komposisi tumbuhan di Kampung Kuantan perlu diperkayakan dengan penanaman lebih banyak pokok seperti pokok sagu, berembang dan nipah untuk memastikan kelestarian populasi kelip-kelip. Ianya merupakan satu inisiatif yang berterusan bagi memastikan habitat dan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan sentiasa terpelihara dari semasa ke semasa sekali gus memberi kesedaran kepada semua peringkat umur masa kini tentang kebaikan dan keperluan dalam menjaga flora dan fauna untuk kegunaan generasi akan datang.

    Selain itu, usahasama antara MDKS dengan pihak Tenaga Nasional Berhad juga turut diperuntukkan sejumlah kos yang ditaja sepenuhnya oleh pihak TNB dengan tujuan utama untuk menjalankan pengajian khas berkaitan habitat kelip-kelip yang dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar daripada universiti tempatan yang mempunyai kepakaran untuk membantu memulihara populasi kelip-kelip melalui pemuliharaan ekosistem yang menyokong kitaran hidup kelip-kelip serta kelestarian sumber makanannya. Hasil dan dapatan yang diperolehi bermula 2016 sehingga 2019 adalah tiada penurunan jumlah habitat kelip-kelip yang ketara kerana kitaran hidup kelip-kelip masih terkawal dengan keadaan persekitaran yang sentiasa terpelihara dengan baik.

     

  2. Berapakah jumlah pelaburan bagi pemuliharaan serta konservasi habitat kelip-kelip dan pelancongan bagi menggalakkan kedatangan pelancong?

    Tindakan dalam mengeluarkan kos dan peruntukan di peringkat Majlis Daerah Kuala Selangor bagi pemuliharaan habitat kelip-kelip adalah bergantung pada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat yang dilaksanakan oleh semua pihak yang sukarela menyumbangkan tenaga, masa dan kos yang berkaitan. Pihak MDKS sentiasa menyokong aktiviti ini dengan memberi bantuan tambahan mengikut permohonan selaras dengan peruntukan pelancongan yang telah ditetapkan setiap tahun mengikut kemampuan PBT.

    Sebagai PBT yang bertanggungjawab, Majlis Daerah Kuala Selangor telah mendapatkan sumbangan daripada Yayasan LBS dengan menandatangani perjanjian persefahaman pada 23 Februari 2019 dengan persetujuan tempoh kerjasama selama tiga tahun dengan jumlah sumbangan yang telah dipersetujui sebanyak RM3 juta khas untuk pembangunan Kelip-Kelip Kampung Kuantan. Pembangunan dua projek permulaan ialah pintu masuk dan kaunter tiket berserta sistem tiket atas talian telah selesai dilaksanakan sepenuhnya pada 25 Jun 2019. Ianya merupakan inisiatif MDKS untuk memastikan pusat pelancongan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan sentiasa menjadi tarikan pelancongan.

    Selain itu, usahasama antara MDKS dengan pihak Tenaga Nasional Berhad juga turut diperuntukkan sejumlah kos yang ditaja sepenuhnya oleh pihak TNB sebanyak RM300,000.00 untuk membaik pulih dan selenggara semula Dewan Barembang Kelip-Kelip Kampung Kuantan iaitu pembangunan fasa pertama supaya segala kemudahan ditambahbaik dan memberi keselesaan kepada pengunjung sekali gus menggalakkan kedatangan pelancong ke Daerah Kuala Selangor.

    Majlis Daerah Kuala Selangor juga dalam proses menyelenggara dan menjalankan pembangunan kemudahan infrastruktur yang lengkap bertaraf antarabangsa yang masih di peringkat dan fasa permulaan bagi memastikan pusat pelancongan sentiasa menjadi tarikan sehingga ke peringkat antarabangsa melalui pelaburan ke arah pembangunan dan promosi yang berterusan. Antara kawasan pembangunan yang terlibat adalah Pekan Lama Kuala Selangor, Bukit Melawati, Pantai Remis dengan cadangan bajet dan peruntukan yang telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Majlis Pelancongan Daerah Kuala Selangor pada 13 Ogos 2019 dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid bin Asari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.