Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
237) PUSAT RAWATAN PESAKIT YANG POSITIF COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan pesakit yang positif COVID-19 yang semakin ramai?
Kerajaan Negeri menyedari bahawa peningkatan kadar kes harian saban hari telah memberi kesan kepada keupayaan fasiliti yang sesuai bagi pertambahan jumlah tersebut. Selaku Kerajaan yang sentiasa mengambil berat berkenaan kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu pesakit Covid-19. Walau bagaimanapun, urusan berkaitan penempatan pesakit Covid-19 adalah merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui pembukaan pusat kuarantin dan sebagainya. Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dan penyelarasan dengan agensi Pusat berkaitan bagi membantu mengatasi masalah ini.
Selari dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persektuan, pembinaan fasiliti hospital adalah merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Pembinaan hospital memerlukan perancangan yang rapi, termasuk pengurusan sumber manusia yang terurus dan mencukupi. Ia merupakan di luar kemampuan Kerajaan Negeri.
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk membina hospital-hopital sementara bagi menampung jumlah pesakit yang positif COVID-19 yang semakin ramai?
Buat masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor belum berhasrat untuk membina hospital sementara untuk menempatkan pesakit COVID-19 kerana Jabatan ini sentiasa menambah keperluan di hospital-hospital KKM sedia ada di Negeri Selangor bagi menampung rawatan pesakit COVID-19. Di samping itu juga, Jabatan ini mempunyai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) di MAEPS yang boleh dimaksimakan penggunaannya kepada pesakit. Jabatan juga bekerjasama dengan hospital-hospital universiti untuk merawat pesakit COVID-19 dan kerjasama daripada hospital-hospital swasta dan hospital-hospital universiti untuk menerima dan merawat pesakit bukan COVID-19 secara penyumberluaran.