Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

110) PUSAT PRA SEKOLAH ANIS

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi pelaksanaan pusat pra sekolah ANIS?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Pusat ANIS telah memasuki tahun ke-4 pelaksanaannya sejak ditubuhkan pada tahun 2021. Pusat ANIS dibahagikan kepada tiga tahap pembelajaran iaitu intervensi, transisi dan pra sekolah yang dijalankan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak.

    Secara keseluruhan, terdapat 258 pelajar yang menjalani pembelajaran di Pusat ANIS. Pusat ANIS sentiasa menambah baik pelaksanaan agar dapat menjadi model kepada taska dan tadika di seluruh Selangor.

  2. Apakah kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaan pusat tersebut?

    Antara kekangan utama yang dihadapi oleh Jabatan ANIS ialah dalam menambah tenaga kerja terutama dari bidang pendidikan khas, occupational therapy dan speech therapy yang memerlukan penambahan peruntukan. Selain itu, jurang yang dikenal pasti ialah kebanyakan kanak-kanak yang memohon masuk ke Pra Sekolah ANIS masih perlu menjalani intervensi dan transisi persediaan ke pra sekolah. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mempergiat program-program intervensi dan transisi yang menjadi keperluan anak-anak istimewa di Selangor.

     

  3. Apakah dasar dan strategi Kerajaan Negeri dalam menjamin hak kanak-kanak di Selangor menerima pendidikan inklusif?

    Dasar Pembangunan Kanak-kanak Negeri Selangor ialah dokumen yang memayungi segala inisiatif dan tindakan berkaitan kanak-kanak. Secara umumnya, Domain 2 (Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak) dan Domain 3 (Pendidikan Peringkat Rendah dan Menengah) dalam dasar tersebut mempromosi hasrat pendidikan inklusif agar semua kanak-kanak menjalani proses pembelajaran tanpa mengira latar belakang dan keadaan kemampuan mereka.

    Kerajaan Negeri sedang menggerakkan usaha ke arah pendidikan inklusif khususnya bagi institusi pendidikan di negeri Selangor. Menerusi Akademi ANIS, latihan diberikan kepada pengusaha taska dan tadika swasta serta Sekolah Rendah Agama Integrasi Selangor agar penjaga dan guru mempunyai ilmu dan kemahiran dalam mengendali anak istimewa. Penjaga dan guru terlatih akan menyokong institusi dalam melaksanakan pendidikan inklusif yang menerima kemasukan anak-anak istimewa.

Lampiran

Tiada Lampiran.