Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

12) PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PPDK)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah cara Kerajaan Negeri boleh memastikan elaun petugas-petugas yang bertugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang rata-rata kini berada bawah paras gaji minima RM1100 dapat dipertingkatkan?

    Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah sebuah program yang dijalankan di bawah Jawatankuasa yang dilantik dan menerima geran peruntukan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Penubuhan PDK adalah berasaskan kepada kerja sukarela yang dijalankan oleh ahli komuniti kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan di kawasan masing-masing.  Secara tidak langsung, OKU dapat tinggal di dalam komuniti dan menerima perkhidmatan dan peluang yang sama rata.

    Walau bagaimanapun, program PDK ini telah mendapat perhatian dan berjaya memberikan perkhidmatan pemulihan dan pembangunan kepada lebih 20,000 OKU di seluruh Malaysia.  Sebanyak 56 buah PDK sedang beroperasi di Negeri Selangor dan dikendalikan oleh 56 orang Penyelia dan 290 orang petugas.  Seramai 2,415 OKU yang berdaftar dan menerima perkhidmatan di PDK.

    Pada tahun 2018, semua PDK telah didaftarkan di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).  Buat masa ini, JKM memberikan geran kepada PDK bagi tujuan pemberian elaun pelatih OKU, utiliti, sewa premis, elaun penyelia dan petugas serta caruman KWSP dan PERKESO dan geran aktiviti.

    Geran peruntukan yang diterima dari JKM bagi tujuan bayaran elaun adalah sebanyak RM1200 kepada penyelia dan RM800 sebulan kepada petugas.  Untuk bayaran petugas, ianya tidak selaras dengan arahan pembayaran gaji minimum RM1100 sebulan.  Sehubungan dengan itu, kerajaan Negeri Selangor sedang dalam rangka kajian untuk meneliti jumlah tambahan elaun yang bersesuaian bergantung kepada kedudukan kewangan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.