Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

5) PUSAT PEMINDAHAN SISA PEPEJAL DI BAWAH WORLDWIDE HOLDING BERHAD

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status semasa Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21 Shah Alam?

    Tapak Pemindahan Sisa Pepejal (SATS) di Seksyen 21 Shah Alam telah mula beroperasi pada 10 Januari 2012 dari pukul 8.00 pagi sehingga 9.00 malam dengan hanya menerima sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebanyak 400tan sehari. Walau bagaimanapun, pada bulan Mac 2012 tapak SATS telah mula menerima sisa pepejal dari Majlis Perbandaran Subang Jaya

    (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan purata sebanyak 1000tan sehingga 1100tan sehari. Semua sisa pepejal di SATS ini akan dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Jeram.

  2. Berapakah jumlah kos yang ditanggung oleh Worldwide Holding Berhad sepanjang tempoh pusat tersebut tidak beroperasi?

    Pihak Worldwide Holdings Berhad (WHB) terpaksa menanggung kos sebanyak RM800,000 ribu sebelum tapak SATS di Seksyen 21 ini mula beroperasi pada 10 Januari 2012. Kos yang ditanggung ini adalah meliputi seperti membayar bil utiliti, kemudahan keselamatan dan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan yang digunakan.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi pusat tersebut dapat berjalan lancar dan terus berdaya saing?

    Kerajaan Negeri sentiasa mencari pelbagai langkah terbaik dalam memastikan supaya tapak SATS di Seksyen 21 ini dapat berjalan dengan lancar dan terus berdaya saing. Antara langkah yang telah diambil adalah dengan meningkatkan lagi kadar penerimaan sisa pepejal agar dapat memudahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjalankan kerja-kerja kutipan sampah. Untuk makluman, permintaan penghantaran sisa pepejal daripada tiga (3) PBT terlibat iaitu MBSA, MBPJ & MPSJ bertambah secara mendadak sehingga melebihi kapasiti SATS. WHB dalam perancangan untuk menambah bilangan kenderaan operasi untuk menampung jumlah sampah yang meningkat ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.