Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

178) PUSAT PEMBERIAN VAKSIN DI MUKIM KLANG

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin Mukim Klang yang didapati positif semasa berkhidmat mengikut PPV masing-masing.

    Sepanjang tempoh pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Mukim Klang sememangnya diakui terdapat petugas-petugas yang didapati positif COVID-19. Walau bagaimanapun, telah disahkan bahawa jangkitan tersebut bukanlah berpunca dari pengoperasian PPV akan tetapi jangkitan tersebut berlaku di tempat tinggal petugas berkenaan.

    Setiap petugas sentiasa diingatkan oleh setiap Ketua PPV supaya peka terhadap kesihatan masing-masing dan kesihatan ahli rumah / kontak rapat petugas. Sekiranya petugas atau ahli rumah atau kontak rapat petugas bergejala, petugas hendaklah memaklumkan kepada Ketua PPV dengan kadar segera dan petugas berkenaan tidak dibenarkan memasuki PPV.

    Bagi memastikan tahap kesihatan pengunjung PPV (penerima vaksin dan pengiring) dan petugas PPV, pasukan petugas yang bertugas di stesen 1 (stesen saringan suhu dan tahap kesihatan) akan memeriksa status kesihatan dan profil MySejahtera pengunjung serta petugas PPV sebelum dibenarkan masuk ke dalam PPV.

    Tambahan pula semua petugas di PPV diwajibkan untuk mematuhi SOP berikut sepanjang berada di PPV:

    1. Sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka berganda dan face shield sepanjang tempoh bertugas;
    2. Sentiasa menggunakan cecair sanitasi tangan;
    3. Sentiasa menjaga jarak fizikal pada setiap masa. Waktu rehat petugas disusun agar dapat mengurangkan bilangan berkumpul semasa rehat;
    4. Meningkatkan kekerapan sanitasi di kawasan pantri/ruang makan/tandas/ruang dan peralatan gunasama;
    5. Sentiasa peka dengan tahap kesihatan dan memaklumkan kepada Ketua PPV sekiranya terdapat simptom COVID-19; dan

    Bagi memastikan keadaan dan persekitaran selamat untuk pengunjung dan petugas di sesebuah PPV, proses sanitasi sentiasa dilakukan secara berkala dengan menyembur cecair sanitasi di kawasan-kawasan dan peralatan yang kerap digunakan dan sanitasi secara menyeluruh akan dilaksanakan selepas tamat operasi PPV setiap hari.

    PPV yang petugasnya didapati positif tidak ditutup. Petugas-petugas dan kontrak rapat yang telah dikenalpasti akan dikuarantin/dirawat mengikut tatacara pengurusan pesakit COVID-19 dan kontak rapat.

    Sehingga kini tiada PPV di Mukim Klang ditutup akibat jangkitan COVID -19.

  2. Adakah PPV yang petugasnya didapati positif ditutup untuk beberapa hari?

    Jawapan sama seperti di atas (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.